Ibu bapa perlu guna peluang waktu mandikan bayi untuk pengaruhi sifat dan watak anak

MEMANDIKAN bayi bukanlah setakat membersihkan tubuh si kecil, tetapi peluang ibubapa meluangkan masa berkualiti bersama anak. Bahasa tubuh dan sentuhan yang diberikan memberikan isyarat kasih sayang.

Sentuhan itu memberi rangsangan yang cukup berkesan bagi meningkatkan sistem ketahanan tubuh dan keyakinan diri pada bayi. Bayi yang berkeyakinan diri selalunya akan lebih ceria, lebih berani mencuba dan belajar serta tidak mudah meragam.

Proses ini tidak sepatutnya dilakukan dengan tergesa-gesa, sebaliknya harus disertakan dengan dakapan kulit ke kulit. Sentuhan ini akan merangsang pengeluaran hormon ‘oxytocin’ dalam tubuh yang amat penting bagi bayi mendapat rasa tenang dan disayangi oleh ibu bapa mereka.

Bayi berusia satu bulan ke bawah perlukan perhatian yang lebih ketika ia dimandikan kerana mempunyai kulit yang masih kurang matang dan sensitif pada kualiti air dan sabun yang digunakan.

Kesan suhu air juga boleh menyebabkan kemudaratan. Bayi yang usia enam bulan ke bawah wajib dimandikan menggunakan air suam; kerana air sejuk boleh menyebabkan bayi mengalami hipotermia. Keadaan ini sering berlaku di negara sejuk.

Sentuhan dan ransangan yang betul semasa memandikan bayi boleh memberi keyakinan diri kepada bayi serta membina watak yang positif pada mereka apabila besar nanti. (Gambar hiasan)

Bayi yang telah dimandikan haruslah dibalut dengan tuala yang mempunyai penutup kepala. Tepuk perlahan-lahan tuala ke badan bayi, bukannya menggosok tuala kerana kulit bayi menjadi lebih lembut dan mudah luka jika digosok dengan tuala. 

Sebelum memakaikan lampai dan pakaian pada bayi, elok juga ibubapa memeluk bayi dengan perasaan kasih sayang antara 5 hingga 10 minit.

Waktu memandikan bayi tidak berapa penting, malah boleh memandikan bayi waktu malam, asalkan menggunakan air suam.  Namun pastikan jangan mandikan bayi di waktu sepatutnya bayi tidur.

Sebelum memandikan bayi, seeloknya sediakan air dalam bekas mandian dulu. Untuk bayi yang berusia kurang enam bulan, isikan bekas mandian sehingga mencapai kedalaman air sehingga bahu bayi dapat ditenggelamkan ketika berbaring di bekas mandian. Manakala bagi bayi yang boleh duduk, air tidak melebihi paras pinggang bayi dalam posisi duduk.

Jika mahu gunakan sabun, cari sabun dalam bentuk cecair yang lembut dan tidak mengandungi pewangi. Paling baik gunakan sabun yang mempunyai pH neutral. Jika kulit bayi anda terasa kering atau kemerahan, anda boleh mencampurkan sedikit emolien mandi ke dalam air mandian.

Jika mahu gunakan sabun, cari sabun dalam bentuk cecair yang lembut dan tidak mengandungi pewangi. Paling baik gunakan sabun yang mempunyai pH neutral. Jika kulit bayi anda terasa kering atau kemerahan, anda boleh mencampurkan sedikit emolien mandi ke dalam air mandian.

Namun kena berhati-hati kerana emolien boleh membuatkan kulit menjadi licin, dan kita boleh terlepas pegangan semasa bayi sedang dimandikan.

Bagi bayi yang baru dilahirkan, baringkan bayi di atas tilam di lantai. Gunakan kapas atau tuala lembut dan air suam untuk membersihkan dan mengeringkan mata, muka, leher dan bahagian tali pusat.

Bahagian tali pusat hendaklah dibersihkan dan dikeringkan setiap hari bagi mengelakkan jangkitan kuman. Boleh gunakan antiseptik yang dibekalkan oleh pihak hospital. Jika kehabisan, gunakan air suam yang bersih dan pastikan ia sentiasa kering.

Jika kulit bayi kelihatan kering, boleh sapukan pelembap yang sesuai. Pakai pakaian yang bersih dan tidak terlalu ketat. Jangan lupa berikan ciuman pada dahi bayi bagi menyatakan kita menyayangi dia.

Paling penting, ibu bapa tidak boleh meninggalkan bayi yang sedang dimandikan untuk urusan lain seperti menjawab telefon atau menutup api di dapur. Pastikan kita tidak memasak apa-apa makanan atau menjerang air di dapur sewaktu memandikan bayi.

Jika ada orang mengetuk pintu atau merasakan perlu menjawab telefon, angkat bayi dari bekas mandian, balutkan bayi dengan tuala tuala dan bawa bersama.

*Dr Zubaidi Haji Ahmad adalah pengamal perubatan am.

PENAFIAN: Hbit.my tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

*Gambar hiasan

Ibu bapa perlu guna peluang waktu mandikan bayi untuk pengaruhi sifat dan watak anak

| Keluarga, Kesihatan, Kolumnis, Semasa |