Ibu lanjut usia sanggup tinggal sendirian kerana tidak mahu susahkan anak

TIDAK mahu susahkan anak, itulah ungkapan seorang ibu apabila ditanya mengapa tidak tinggal dengan salah seorang anaknya. Bukan beliau sahaja, malah kebanyakan ibu akan memberi jawaban sama.

Begitulah lumrah seorang ibu, dalam keadaan uzur dan tua sekalipun tetap mahu tinggal di rumah sendiri. Bagi mereka tinggal bersama anak akan membebankan mereka, apatah lagi bagi anak yang telah berkahwin atau sudah mempunyai keluarga.

Apabila anak-anak menolak alasan menyusahkan sebagaimana didakwa, para ibu akan memberi alasan ‘jaga ayam itik’, tiada orang menyiram bunga dan sebagainya pula; seboleh mungkin mereka mengelak tinggal di rumah anak.

Begitulah yang berlaku pada seorang ibu, Makcik Mahmoo yang telah menjangkau usia 72 tahun.  Beliau yang merupakan balu kematian suami sejak tahun 2005 mempunyai lima orang anak, tiga daripadanya telahpun meninggal dunia.

Makcik Mahmoo yang tinggal sendirian menerima kunjungan Skuad Asnaf Baitulmal MAIWP di rumahnya. (Gambar FB Baitulmal MAIWP)

Terbaru anak yang tinggal bersamanya di rumah itu juga telah pergi dijemput Ilahi tahun lalu akibat sakit kanser yang dihadapinya. Kini Makcik Mahmoo hanya mempunyai dua orang anak yang masing-masing telah berkeluarga dan tinggal jauh berasingan dengannya.

Walaupun dipelawa tinggal dengan mereka, beliau lebih selesa tinggal sendirian.  Maka, anak-anak akan datang berziarah beliau dan menghulurkan sedikit wang belanja untuk ibu mereka. Selain itu, beliau juga menerima Bantuan Kewangan Bulanan yang diterima daripada Baitulmal MAIWP sejak tahun 2012 lagi.

Untuk ibu yang memilih tinggal sendirian, anak-anak perlulah sentiasa menjenguk mereka secara giliran bagi memastikan tidak berlaku kematian bersendirian sebagaimana yang selalu kita dengar beritanya.

Bagi mereka yang berkeupayaan dari segi kewangan, eloklah memasang kamera litar tertutup untuk memantau ibu atau bapa yang tinggal sendirian. Walaupun jarak memisahkan atas pilihan, janganlah pengakhiran hidup mereka berakhir dengan tragedi menyayat hati.

Ibu lanjut usia sanggup tinggal sendirian kerana tidak mahu susahkan anak

| Semasa, Tumpang Bahu |