October 7, 2024 10:07 PM
LOGO-HBIT

Ibu meninggal setelah alami kemurungan, anak disleksia yatim piatu

OLEH: HANNA SOPHIA HANAFI

TELEFILEM ‘Poskad dari Switzerland’ merupakan naskhah drama yang mengambil peristiwa kecil dalam kehidupan seseorang dan meningkatkan tahap kepentingannya. ‘Perkara-perkara kecil dalam hidup’ yang dikira penting bagi protagonis telah diangkat sebagai bahan tontonan yang sarat unsur didaktik. Telefilem ini diterbitkan oleh Edi Hezri dan penerbit eksekutif/pengurus produksi, Syafiq Razlan melalui rumah produksi Farsight pada tahun 2018.

Telefilem arahan Rusdi Ramli ini mengetengahkan tema kasih sayang dan pengorbanan antara keluarga dan masyarakat. Latar masyarakat desa yang bekerja di ladang sawit dan suasana sekolah di kampung membuatkan penonton terasa bagaikan mengimbau memori kehidupan peribadi yang dekat di hati. Dibintangi oleh pelakon cilik berbakat besar, Puteri Balqis selaku tunjang utama, berjaya mengundang air mata sesiapa yang menghayati telefilem ini dengan mata hati.

Penerimaan tanpa syarat merupakan mesej utama yang terserlah melalui lakonan Vanidah Imran selaku Cikgu Mariam dan datuk nenek Inayah yang menerima seadanya keadaan Inayah dalam menggalas amanah mendidik dan menjaganya. Kisah ini juga menekankan kepada pentingnya kaedah pendidikan terbeza yang diadaptasi oleh Cikgu Mariam dalam mengajar murid bermasalah pembelajaran.

Beliau bertuah bersuamikan Fadli, lakonan Rashidi Ishak yang amat memahami isterinya yang terbawa-bawa jiwa pendidik hingga ke rumah. Suaminya amat menyokong penuh kerjaya isteri dengan sering bertanyakan hal Inayah.

Inayah gigih berlatih membaca dan menulis sehingga mampu menghadiahkan sepucuk surat ringkas buat Cikgu Mariam sebagai hadiah hari guru paling bermakna yang pernah diterimanya. Surat itu telah dibingkaikan dan tersimpan rapi oleh Cikgu Mariam. Surat tersebut amat bererti kerana murid yang dahulunya berhadapan dengan masalah disleksia kini berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara dan bergelar doktor.

Inayah yang menghidap disleksia menjadi yatim piatu setelah ibunya meninggal dunia dalam satu tragedi akibat dari kemurungan.

Lakonan penuh ekspresi oleh Hisham Ahmad Tajuddin sebagai Tok Mat, datuk Inayah dan Fauziah Nawi sebagai nenek Inayah menggambarkan pentingnya peranan keluarga nuklear dalam mendidik keluarga. Inayah yang dijaga bagai menatang minyak penuh setelah bergelar anak yatim berjaya meningkatkan tahap keyakinan dirinya.

Isu kesihatan mental juga tidak boleh dipandang enteng. Kesihatan mental adalah situasi di mana seorang individu menyedari potensinya boleh berdaya tindak terhadap tekanan kehidupan, bekerja dengan produktif dan menyumbang kepada masyarakat. Namun, keadaan itu tidak berlaku kepada Nurkhiriah Shafie yang mantap lakonannya sebagai Biah yang kemurungan selepas kematian suaminya, Dolah lakonan Azhan Rani.

Kemurungan ialah gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta kehilangan minat dalam aktiviti harian. Kemurungan Biah tidak segera dirawat secara profesional, hingga akhirnya memakan diri apabila Biah terkorban meninggalkan Inayah yatim piatu.

Di sebalik kesedihan hidup yang dihadapi oleh Inayah kerana masalah kecelaruan mental ibunya, dia tetap bersifat terbuka dalam menerima kehadiran sahabat baharunya, Nelly lakonan Maisarah Syahirah. Nelly yang juga anak kepada Cikgu Mariam menerima kekurangan Inayah yang masih tidak menguasai kemahiran 2M (membaca dan menulis) dengan baik.

Telefilem ini sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Skrip hasil tulisan Sofea J Rhyland ini mudah difahami oleh semua peringkat dari sekolah rendah hinggalah ke dewasa renta. Walaupun sinematografi yang dipaparkan ringkas dan bersahaja, nilai pengajaran yang disampaikan boleh diberi penarafan 5 bintang.

Santunnya ungkapan yang diutarakan menjadikan telefilem ini amat sesuai sebagai bahan pembelajaran di luar premis institusi pendidikan normal.

Gambar: Klip dari salah satu adegan dalam telefilem Poskad dari Switzerland yang disiarkan di Alhijrah Plus.

* Penulis adalah Pemenang Hadiah Sagu hati Pertandingan Menulis Review Rancangan Alhijrah Plus.