Ibu sarat mengandung anak ketiga dan dua anak dihalau tuan rumah, suami pula ‘ghaib’ dari rumah

BAGAIKAN pelarian, kisah dihalau akhir bulan lalu bersama dua anak tidak akan luput dalam ingatan ibu ini. Akibat sewa rumah tertunggak beberapa bulan, ibu yang sedang sarat hamil anak ketiga bersama dua orang anak ini terpaksa menghadapi detik hitam apabila diminta keluar daripada tempat berteduh selama ini.

Suami yang sepatutnya berada di sisi menjadi pelindung dan penghilang resah tidak dapat diandalkan kerana telah berubah sikap dan menghilangkan diri sejak terlibat dengan penyalahgunaan najis dadah.

Dalam menghadapi keadaan mendera sebegini, sudah pasti yang menjadi keutamaan bagi seorang ibu ialah anak-anak yang masih kecil. Namun ibu ini buntu ke mana arah tuju seterusnya selepas ini.

Syukurlah, kehadiran seorang sahabat yang sanggup membantu pada saat kesusahan sebegini bagaikan oasis di tengah sahara bagi ibu ini. Beliau dan anak-anak diberi tumpang tinggal di rumah sahabat yang sungguh mulia pekertinya ini.

Bagaikan telah faham kesukaran yang bakal dihadapi untuk ke rumahnya, ibu yang sedang kesuntukan wang diminta untuk menaiki grab yang telah dibayar oleh sahabatnya itu untuk datang ke rumahnya bersama barang dan anak-anak.

Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP sewaktu meninjau keadaan ibu hamil yang dihalau dari rumah sewa dan sedang menumpang di rumah sahabatnya.

Bertindak menerusi aduan awam yang diterima, Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP telah bergegas ke lokasi dimana beliau menetap sekarang.

Oleh kerana rumah sahabat beliau bukanlah tempat yang sesuai untuk menetap dalam tempoh waktu yang lama, Baitulmal MAIWP telah mencadangkan beberapa bantuan agar beliau dapat menjalani kehidupan seperti biasa, lebih-lebih lagi dalam waktu tanah air sedang berdepan dengan bahaya Covid-19 yang mencabar ini, sekaligus membantu memudahkan wanita ini akan bersalin pada masa akan datang.

Sesungguhnya pertolongan Allah akan datang tepat pada waktunya apatah lagi bagi mereka yang teraniaya, yang penting yakinlah dan berbaik sangkalah pada-Nya.

Gambar: Ibu sarat hamil anak ketiga ini bersama dua anak kecilnya menumpang sementara di rumah sahabatnya sedang diziarahi oleh Skuad Jejak Baitulmal MAIWP minggu lalu.

Ibu sarat mengandung anak ketiga dan dua anak dihalau tuan rumah, suami pula ‘ghaib’ dari rumah

| Semasa, Tumpang Bahu |