Imam menggerakkan pembaharuan dalam menguruskan isu-isu Islam

PEMBAHARUAN itu umpama gumpalan air deras dari puncak gunung yang menghilir ke muara; dan berlaku secara semula jadi akibat proses alam dan manusia. Sebagaimana kejadian alam, hal yang sama juga terjadi kepada pembaharuan pemikiran yang berlaku dalam masyarakat; cuma yang membezakannya hanya pantas atau perlahan sesuatu pembaharuan diterima dan bertapak dengan kukuh.

Sekalipun begitu, agenda menggerakkan pembaharuan tidak boleh dizahirkan dengan mudah. Salah satunya disebabkan benteng pemikiran lama sudah bertapak dalam masyarakat. Hal-hal sedemikianlah yang memperlahankan sesuatu perubahan termasuk dalam hal-hal agama.

Masa yang sama pembaharuan juga berkait rapat dengan faktor rentas generasi –antara tua dan muda serta baharu dan lama. Kedua-duanya cenderung bertentangan daripada memilih untuk selari dalam hal-hal tertentu terutama agama.

Jurang dua generasi itu menjadi cabaran pada sesuatu pembaharuan. Kedua-duanya mempunyai sebab untuk mempertahankan pegangan dan membina prasangka kepada pihak yang bertentangan.

Filem Imam arahan Mior Hashim Manap adalah gagasan mengangkat agenda pembaharuan dalam pemikiran Islam.  Pembaharuan itu digerakkan oleh golongan muda yang terlepas daripada kepungan pemikiran lama. Sekalipun begitu bukanlah suatu yang mudah untuk memecah sesuatu yang lama dipasak kepada masyarakat.

Salah satu adegan dalam filem Imam yang bakal disiarkan di TV AlHijrah dan boleh distrim di AlHijrah Plus, 31 Mac nanti.

Imam diadaptasi daripada novel Imam karya Sasterawan Negara Abdullah Hussein yang memenangi tempat pertama Hadiah Sako anjuran Kumpulan Utusan tahun 1994. Kemudian novel yang sama memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1994.

Seperti novel, fllem yang diterbitkan oleh Alkafi Pictures itu bergerak atas naratif pertembungan dua golongan; baharu dan lama dalam mentafsir hukum-hukum Islam. Yang baharu lebih terbuka terutama dalam mendekati generasi muda, sementara golongan lama agak tegas dan tertutup.

Novel itu selain sebuah karya sastera, ia juga berdiri sebagai dokumentasi sosial yang merakamkan pertembungan pemikiran antara golongan baharu dan lama pada awal dekad 1980-an.  Kemuncaknya adalah berlaku dengan banyaknya sembahyang Jumaat dua imam.

Secara tradisi imam mempunyai atau diletakkan pada kedudukan istimewa dan amat dipercayai dalam masyarakat Melayu, manakala dalam konteks yang luas; imam adalah pemimpin yang bertanggungjawab membawa masyarakat menuju pada kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat.

Sekalipun begitu bukan semua imam menepati sifat sebagai pemimpin kerana terdapat imam yang menggunakan kedudukan untuk kepentingan lain. Ini menatijahkan pendirian golongan lama tidak semuanya mempertahankan agama, terselit juga kepentingan yang bersifat peribadi.

Malah imam itu sendiri ada berbagai-bagai – ada yang berani, pak turut, terbuka dan juga jumud. Agenda pembaharuan tidak akan berlaku di tangan imam yang tidak ada iltizam mengembalikan sesuatu keadaan itu supaya lebih tepat dan sesuai dengan zaman.

Sepatah dialog Haji Mihad (lakonan M Nasir) berbunyi, “… pembaharuan itu laksana cahaya yang terkurung dan mencari jalan menembus keluar melalui rongga atau retak biar seseni sekalipun”.

Dialog itu menggambarkan iltizam Haji Mihad sebagai pembawa pemikiran baharu yang mendapat pengalaman dan ilmu yang luas di luar geografi sosial kampung berkenaan. Haji Mihad realistik dengan tentangan, pada masa yang sama dia tidak pernah mengalah kerana yakin apa yang dibawanya adalah cahaya – boleh menembus retak yang sekecil mana sekalipun.

Masalah utama pemimpin yang digambarkan melalui watak imam tua adalah sentiasa curiga dan merasa tidak selamat apabila pengaruh dalam masyarakat condong kepada imam muda.  Dalam kelompoknya juga ada yang berkepentingan, malah dendam yang tidak pernah berakhir.

Faizal Hussein (tengah) memegang watak antagonis, Haji Syamsuri dalam filem Imam

Imam adalah sebuah filem sosial yang mengangkat ruang-ruang yang dimanipulasi oleh golongan berpengaruh tetapi tidak bertanggungjawab; sekaligus mendedahkan tentang keberadaan individu yang memakai baju agama untuk mewajarkan tindakan yang bersifat peribadi.

Disebabkan label sebagai ‘orang alim’, watak-watak seperti Haji Syamsuri (lakonan Faizal Hussein) lebih banyak bertindak untuk kepentingan peribadi semasa menghalang Haji Mihad menjadi imam di masjid. Imam adalah lambang kuasa dan kedudukan, yang juga bermaksud adanya kemuliaan.

Pendekatan Haji Mihad memasyarakatkan masjid termasuk kepada golongan muda memberi tamparan kepada Haji Syamsuri dan beberapa pengikutnya.  Maka hujah-hujah agama pun ditafsirkan mengikut kepentingan sehingga mengakibatkan masyarakat berpecah dua.

Haji Syamsuri masih tidak bebas daripada belenggu dendam dan prasangka silam terhadap Haji Mihad yang pernah menjadi kekasih isterinya, Rubiah (Vanida Imran).  Peluang menjadi imam selepas imam tua bersara terhalang dengan kepulangan Haji Mihad, seorang perwira dan juga ulama.

Haji Mihad meninggalkan kampung kerana menyertai angkatan tentera dan pernah berjuang ketika berlaku konfrontasi Malaysia – Indonesia di Sarawak. Dia cedera di kaki, tetapi tidak menghalang dia menuntut ilmu agama hingga ke luar negara. Haji Mihad bertemu jodoh dengan gadis Sarawak, Nur Aisyah (Natasha Charmaine).

Konspirasi menjatuhkan Haji Mihad semakin besar apabila ada pihak menyebarkan khabar angin kononnya terdapat emas di kampung itu, termasuk di bawah tapak masjid.  Agama pun tercabar apabila orang kampung menggali emas secara haram di bawah tapak masjid.

Masjid yang sebelum itu menyaksikan tragedi paling menyedihkan, iaitu sembahyang dua imam pun runtuh. Runtuhnya masjid itu adalah sesuatu yang melampaui makna zahir.

Keruntuhan itu perlambangan rasukan kebendaan yang membelakangkan agama dan membawa perpecahan dalam masyarakat. Keadaan seperti itu memerlukan imam yang sebenar untuk memandu agama dan kehidupan serta mendirikan semula ‘masjid’ yang runtuh.

Mencermati filem Imam daripada laras yang tersurat mahupun tersirat adalah melihat ke dalam diri dan menoleh kepada masyarakat. Semestinya kita belajar untuk tidak mengulangi. Hal yang seperti ini berlaku pada semua zaman dan kita semestinya bertekad menjadi generasi yang paling kuat untuk melindungi imam dan masjidnya.

Filem IMAM akan disiarkan di TV AlHijrah pada 31 Mac pukul 9:00 malam dan juga boleh ditonton secara strim di aplikasi AlHijrah Plus.

(234)

Imam menggerakkan pembaharuan dalam menguruskan isu-isu Islam

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>