Islam keluarkan wanita dari zaman kegelapan, jangan pula kembali pada zaman jahiliah baharu

PADA zaman jahiliah dahulu, bangsa Arab memandang rendah wanita dan meletakkan mereka pada tahap yang hina, sehingga ada yang sanggup membunuh anak perempuan. Islam datang membanteras kerosakan ini dan menolak norma keji tersebut; sekaligus mengeluarkan wanita dari zaman kegelapan mereka.

Pada hakikatnya fenomena seperti ini pernah berulang di zaman moden ini. Ada sebahagian bangsa yang menganggap anak perempuan sebagai membawa petaka buat keluarga sehingga mereka menyerahkan anak perempuan mereka kepada keluarga angkat yang lain.

Kerosakan corak pemikiran seperti ini telah dibanteras oleh Islam. Rasulullah yang diutuskan sebagai rahmat buat seluruh alam telah menegaskan bahawa anak perempuan pada hakikatnya adalah aset buat ibubapa untuk ke syurga.

Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang dikurniakan anak perempuan, dia tidak membunuhnya, tidak merendahkannya, tidak melebihkan anak lelaki daripadanya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.” (Hadis riwayat Ahmad).

Hadis ini seharusnya memadamkan dilema buat ibu ayah yang hanya mengharapkan anak lelaki semata sedangkan anak perempuan berupaya menjadi kunci buat mereka ke syurga.

Ada sebahagian bangsa yang menganggap anak perempuan sebagai membawa petaka buat keluarga sehingga mereka menyerahkan anak perempuan mereka kepada keluarga angkat yang lain. Gambar hiasan: kemas.gov.my

Bukan sekadar memelihara anak perempuan, Rasulullah turut membayangkan kepada kita bahawa tindakan memuliakan wanita adalah ciri-ciri orang yang beriman. Sabda Rasulullah SAW: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu adalah mereka yang berbuat baik kepada kaum wanita mereka.” (Hadis riwayat Ibn Hibban).

Rasulullah turut membimbing para sahabat agar sentiasa membantu wanita yang kesusahan. Usaha mereka yang membantu golongan sebegini dianggap sebagai perjuangan seperti berjuang di jalan Allah. Sabda Rasulullah: “Mereka yang membantu wanita kematian suami dan orang-orang miskin seumpama mujahid yang berjuang di jalan Allah” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Hadis ini mengggambarkan kepada kita bagaimana Rasulullah berusaha membangunkan satu sistem penjagaan terhadap wanita yang bersifat holistik. Baginda menggariskan beberapa dasar penting bagi memelihara kepentingan wanita sejak mereka kecil lagi.

Wanita dijadikan alat pengiklanan komersial, menjadi perunding untuk mendapatkan projek dengan tawaran khidmat peribadi, malah ada dikalangan mereka yang menjual maruah wanita demi mendapatkan pulangan yang lumayan.

Bahkan seseorang yang ingin pergi berjihad sekalipun, Rasulullah akan meneliti dahulu latar belakang keluarganya. Andai terdapat wanita yang ada dalam kalangan ahli keluarga tersebut, maka Rasulullah akan menghalang lelaki tersebut dari keluar berjihad di medan perang.

Perkara ini direkodkan di dalam hadis di mana seorang lelaki meminta izin untuk pergi berjihad. Kata beliau: “Wahai Rasulullah, aku ingin menyertai jihad. Rasulullah bertanya: Apakah ibumu masih lagi hidup? Lelaki tersebut menjawab: Ya. Sabda Rasulullah: “Lazimilah pada kakinya, engkau akan mendapatkan syurga.”

Dalam dunia yang serba moden ini, kita terkadang tidak perasan bahawa manusia telah menjadikan wanita sebagai objek yang terkadang boleh menjatuhkan kedudukan mereka.

Wanita dijadikan alat pengiklanan komersial, menjadi perunding untuk mendapatkan projek dengan tawaran khidmat peribadi, malah ada dikalangan mereka yang menjual maruah wanita demi mendapatkan pulangan yang lumayan.

Kerosakan ini pada hakikatnya ditolak dalam Islam. Malah Islam mengangkat wanita pada kedudukan yang sangat mulia. Kembali kepada ajaran Islam, kedudukan wanita pasti terpelihara. 

Islam keluarkan wanita dari zaman kegelapan, jangan pula kembali pada zaman jahiliah baharu

| Kolumnis, Semasa |