BERMULA dengan gurauan biasa, lama-lama jadi rindu apabila tidak mendengar gurau canda walaupun sehari berpisah. Hubungan sebagai rakan sekerja akhirnya bertukar corak kepada yang lebih serius.
Bagi yang belum bernikah, mungkin ia jadi pencetus kepada sebuah ikatan sah, namun bagi suami atau isteri seseorang, ia petanda hubungan tersebut telah masuk ke fasa hubungan terlarang.
“Hubungan pergaulan di tempat kerja yang tidak terkawal di antara lelaki dan wanita berupaya menimbulkan fitnah yang mengundang kepada zina. Tidak kira sama ada seseorang itu sudah berkahwin atau bujang, batasan pergaulan hendaklah dijaga. Hati manusia boleh berubah untuk cenderung melakukan maksiat,” ujar Dr Ahmad Sanusi Azmi, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM dalam saluran Telegramnya.
Justeru itulah menurut beliau Rasulullah sangat memelihara batas pertemuan antara lelaki dan perempuan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, Rasulullah SAW dilihat akan duduk seketika setelah selesai solat. Ini adalah bagi memberi ruang kaum wanita supaya beredar dahulu setelah solat.
Perkara ini dilakukan oleh Rasulullah bagi mengelakkan percampuran atau perselisihan antara lelaki perempuan yang mungkin berlaku setelah selesai solat.
Selain itu, menurut al-Imam Abu Daud Baginda juga pernah mengkhususkan satu pintu khas bagi wanita bagi tujuan di atas, selain menasihatkan para wanita supaya mengasingkan sedikit laluan perjalanan mereka ketika melalui jalan.
Dalam mengerjakan kebaikan seperti ke masjid sekalipun Baginda amat mementingkan penjagaan pergaulan antara lelaki dan wanita, apatah lagi dalam urusan seharian yang banyak membuka ruang “ikhtilat” dalam masyarakat hari ini.
“Bayangkan, kalau di masjid dalam keadaan nak beribadah dengan suasana yang baik ini pun boleh terdedah dengan fitnah, maka apatah lagi dalam suasana di tempat kerja. Batasi pergaulan kita. Usah bergurau dengan gurauan “orang kahwin” yang melampau. Bermula dari cetusan yang sedikit, syaitan berupaya membisikkan godaan zina yang memusnahkan,” nasihat beliau lagi.
Ajaran Islam sudah lengkap dalam mengatur kehidupan manusia dan sangat berpandangan jauh ke depan. Ia bersifat mencegah sesuatu perkara yang buruk berlaku, kerana untuk merawat sesuatu penyakit masyarakat itu bukan mudah, apatah lagi dalam gaya hidup masyarakat yang terlalu bergantung kepada sumber media sosial.
Gambar hiasan: Gurauan melampau di tempat kerja antara lelaki dan wanita apatah lagi yang tidak berkaitan dengan urusan kerja boleh mengundang fitnah yang akhirnya mendorong kepada maksiat. (karteldakwah.com)