Jatuh semasa bertugas dan diberhentikan kerja, lelaki ini pernah makan makanan basi kerana tiada duit

HIDUP Musraini Mustapar Kamar, 44, berubah sekelip mata apabila terjatuh ketika bekerja sebagai juru elektrik di sebuah syarikat di Port Dickson pada tahun 2017, menyebabkan beliau menghidap ‘slipped disc’ kronik.

Beliau kemudian diberhentikan kerja pada akhir 2018, selepas tidak lagi mampu menjalankan tugas sehingga terpaksa merayu belas ihsan orang lain demi mengisi perut. Lebih menyedihkan, Musraini pernah makan makanan basi kerana sudah tiada langsung duit di poket.

Masalah kesihatan yang dialami bertambah kronik selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika pulang menziarahi bapanya yang terlantar akibat strok di Air Mawang, Johol, pada awal tahun lalu. Akibatnya, pergerakan Musraini amat terbatas selain kakinya menjadi lembik dan sukar bergerak.  

Musraini mengamalkan makanan tambahan untuk mengurangkan kesakitan yang dialaminya akibat tulang belakang patah setelah kemalangan di tempat kerja.

Beliau kini tidak mampu bekerja kerana tidak boleh berdiri atau duduk melebihi 10 minit kerana tulang belakang akan berasa ngilu. Disebabkan keadaannya, tiada majikan berminat mengambil dia bekerja walaupun sudah berusaha untuk mencari pekerjaan.

Beliau kemudian menjalani pemeriksaan di sebuah hospital pakar di Melaka atas nasihat seorang individu yang kononnya mahu menaja kos pemeriksaan berkenaan. Hasil pemeriksaan MRI dan CT Scan yang dilakukan, skru titanium yang dipasang di tulang belakangnya didapati patah akibat kemalangan berkenaan. Ia dipercayai menjadi punca keadaan kesihatan Musraini bertambah buruk. 

Doktor menasihatkan agar Musraini menjalani pembedahan untuk menggantikan skru yang patah dan perlu menambah empat lagi skru baharu bagi membantunya menjalani hidup seperti sediakala. Pembedahan terbabit dianggarkan berjumlah RM65,000.

Musraini mahu menjalani pembedahan kerana mahu hidup normal dan mencari pekerjaan kerana mahu menjaga anak-anaknya. Namun, hasrat itu hanya dapat direalisasikan sekiranya dia berjaya mengumpul dana RM65,000 untuk menjalani pembedahan.

Namun menurut Musraini, individu yang berjanji mahu membantunya tiba-tiba menghilangkan diri sehingga menyebabkan beliau berhutang sebanyak RM4,000 dengan hospital terbabit. Disebabkan sudah terlalu lama tidak bekerja, wang simpanan dan caruman dalam Akaun 2 KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) sudah habis digunakan untuk membayar ansuran rumah berjumlah RM580 sebulan. Beliau bimbang akan dihalau keluar sekiranya rumah dilelong. Beliau juga gagal menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada tiga anak berikutan tidak mempunyai sumber pendapatan.

Kedatangan bulan mulia menjentik hatinya yang amat merindui ketiga-tiga permata hati hasil perkahwinannya sebelum ini, berikutan sudah setahun dia tidak bertemu mereka.  Anak-anaknya iaitu dua lelaki dan seorang perempuan berusia antara tujuh hingga 11 tahun kini dijaga bekas mentua di Pontian selepas bekas isterinya berkahwin lain.

Musraini mahu menjalani pembedahan kerana mahu hidup normal dan mencari pekerjaan kerana mahu menjaga anak-anaknya. Namun, hasrat itu hanya dapat direalisasikan sekiranya dia berjaya mengumpul dana RM65,000 untuk menjalani pembedahan.

Gambar: Musraini terbaring ketika ditemubual Suara Asnaf berikutan tidak boleh duduk melebihi 10 minit kerana tulang belakangnya akan menjadi ngilu jika duduk terlalu lama.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 31 atau  terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Jatuh semasa bertugas dan diberhentikan kerja, lelaki ini pernah makan makanan basi kerana tiada duit

| Advertorial, Semasa |