Jawapan kanak-kanak usia 10 tahun sedang ibadat di masjid buat lelaki ini rasa malu

OLEH: AHMAD RIFHAN MUJADDID JAZMI ZUHRI

GELAP malam syahdu menyelimuti mataku. Didodoikan alunan merdu suara imam membaca kalam Tuhan Yang Maha Indah. Sungguh mengasyikkan. Meskipun jasad sudah separuh mati. Roh dan semangat dipaksa untuk terus berdiri. Mengerah sisa tenaga meraih pahala berbaki malam Ramadan yang bakal pergi.

Dahulu aku juga yang sering meminta, supaya dikurniakan rezeki bernafas dalam bulan yang mulia . Lantas tidak layak untuk aku kufur nikmat, sedangkan syukur itu perlu aku alirkan pada setiap hela dan sendi.

Di saat aku bermonolog memberi tazkirah hati, mataku terpanggil melihat sosok kecil yang begitu khusyuk. Tingkah lakunya tidak sama dengan kanak-kanak lain. Duduknya setempat bertemankan wirid meskipun dikelilingi kanak-kanak yang hingar dengan jeritan mereka.

“Assalamualaikum adik, rajinnya datang masjid. Adik umur berapa ni?”

“ Waalaikummussalam, saya 10 tahun bang.”

“ MashaAllah, bagusnya. Mesti ayah adik bangga. Kecil-kecil dah rajin ibadat di masjid”

“Ya bang, saya nak banggakan arwah ayah saya.Sewaktu dia hidup dia selalu hidupkan malam Ramadan di masjid. Ayah saya pesan, selagi kita bernyawa banyakkan solat dan ibadat pada Allah. Rasulullah ketika hidup dahulu solat sampai bengkak kaki. Jadi kita kena ikut Rasulullah.”

Anak yang dibentuk dari kecil dengan ajaran agama akan tabah menghadapi kehidupan dan matang dalam tindakan. (Gambar hiasan: ulasan.com)

Larutan hatiku mula bercampur rasa. Malu dan bangga. Malu kerana jawapan semulia ini diungkapkan oleh si kecil yang belum ditaklif tanggungjawab agama. Bangga kerana masih ada kanak-kanak yang meletakkan agama sebagai pedoman utama.

“ Dik, abang nak tanya sikit? Abang tengok adik ni khusyuk ja. Adik ada tips yang boleh kongsi dengan abang?”

“ Minta maaf. Saya tak ada apa-apa tips bang. Saya cuma ingat pesan arwah ayah saya. Ayah saya kata, kita kena buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh ibarat amalan itu terakhir untuk kita di dunia. Saya anggap Ramadan ni, Ramadan yang terakhir untuk saya.

“Ayah saya pesan jangan biarkan kita keluar daripada bulan Ramadhan dalam keadaan dosa kita tidak diampunkan, kalau tak kita akan dimasukkan dalam neraka dan tak dapat rahmat Allah. Saya takut Allah tak ampunkan dosa saya. Saya nak Allah sayang saya. Saya nak jadi anak soleh. Nak jadi penyambung pahala untuk ayah saya.”

Mata adik kecil ini sedikit berkaca. Mutiara jernihnya berguguran setitis demi setitis. Bicara yang hadir daripada muara hati tidak mampu menahan deras perasaannya yang ikhlas. Betapa untungnya seorang ayah memiliki anak berjiwa hamba, senantiasa dikirim gerombolan pahala daripada dunia.

Mata adik kecil ini sedikit berkaca. Mutiara jernihnya berguguran setitis demi setitis. Bicara yang hadir daripada muara hati tidak mampu menahan deras perasaannya yang ikhlas. Betapa untungnya seorang ayah memiliki anak berjiwa hamba, senantiasa dikirim gerombolan pahala daripada dunia.

Malam ini aku telah belajar sesuatu. Belajar menjadi hamba yang lebih sempurna. Belajar meninta amalan dengan penuh keinsafan. Laman fikiran yang dahulunya alpa mula disapa soalan berbisa, “Andai ini Ramadhan terakhirku, apakah aku termasuk dalam kalangan hamba yang bertaqwa?”

*Gambar hiasan

Penulis ialah Pemenang Hadiah Penghargaan Pertandingan Menulis Esei “Andai Ini Ramadan Terakhir” TV AlHijrah.

Jawapan kanak-kanak usia 10 tahun sedang ibadat di masjid buat lelaki ini rasa malu

| Semasa, Tumpang Bahu |