Jumaat pertama yang hiba, cucuran air mata membasahi baju Melayunya

HARI ini kali pertama dalam hidup saya melihat suami sendiri menangis. Hiba hati saya melihat air matanya bercucuran, yang cuba pula disembunyikan dari penglihatan saya. Sejak tengahari tadi, saya lihat dia berkurung di bilik perpustakaan rumah kami, siap berpakaian sepasang baju Melayu dan bersongkok.

Lazimnya pada waktu begini setiap Jumaat saya sibuk di dapur menyiapkan makan tengahari, dan dia seperti biasa melakukan kerja di pejabatnya, suatu ruang kecil di ruang tamu. Kami akan sama-sama menikmati makan tengahari sepulangnya dia dari mengerjakan solat Jumaat.

Ternyata hari ini sungguh berbeza. Saya sebagai suri rumah mungkin tidak begitu terasa rutin mingguan yang telah berubah, di mana hari ini bermulanya kali pertama seluruh kaum muslimin dilarang solat Jumaat dan digalakkan berjemaah Zohor di rumah.

Saya serba-salah, adakah saya ada berbuat sesuatu yang mengguris hatinya? Apabila saya bertanya, dia menggeleng. Pelbagai pertanyaan saya majukan, semuanya digeleng.

“Saya pilu dengar azan Zohor, sedangkan saya yang masih sihat ini terpaksa solat di rumah. Allah sudah tidak memanggil saya ke sana,” jawapannya terluah dalam nada tersekat-sekat. Air mata semakin laju turun ke pipi.

Tiba-tiba rasa sebak menerpa di dada sebaik sahaja mendengar jawapan itu. Ada benarnya kata suami saya. Perkara sebegini tidak pernah berlaku selama kami hidup – para muslimin tidak solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran badan.

Tiba-tiba rasa sebak menerpa di dada sebaik sahaja mendengar jawapan itu. Ada benarnya kata suami saya. Perkara sebegini tidak pernah berlaku selama kami hidup – para muslimin tidak solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran badan.

Masjidil Haram, masjid-masjid juga surau-surau di seluruh Malaysia tiada jemaah seperti kebiasaan, itupun nasib baik azan masih lagi berkumandang.

“Kita sama-samalah doakan semoga Allah mengasihani kita dan memaafkan segala kesilapan hamba-Nya. Kita berubahlah ke arah kebaikan, dan doakan semua orang kembali pada-Nya supaya Dia tidak lagi murka kepada kita yang selalu lupa,” balas saya dalam nada sebak.

Terasa benar seolah-olah Allah sedang murka kepada seluruh hamba-Nya, sehingga tidak sudi lagi menjadikan hamba-Nya sebagai tetamu di rumah-Nya.

Begitulah mungkin yang sedang dialami oleh segelintir para jemaah solat Jumaat yang sebelumnya saban minggu menunaikan kewajipan solat Jumaat hari ini, tatkala mendengar laungan “Sollu fi buyutikum” yang bermaksud solatlah kamu dari rumah.

Hari ini, semua muslimin tidak diwajibkan bersolat Jumaat dan hanya perlu solat Zohor di rumah sebagai langkah kawalan penularan pandemik Covid-19 yang semakin bertambah di Malaysia. (Foto: iqra.id)

Kini saya faham apa yang sedang menyentak perasaan suami sehingga dia bersikap sedemikian hari ini. Nasib baiklah tadi dia dan seluruh muslimin dan muslimat secara “berjemaah” telah bertadarrus surah Ar-Rahman sebagaimana kempen Solidariti Ummah Untuk Malaysia yang dilancarkan hari ini kepada seluruh warga Malaysia untuk mengisi waktu kuarantin di rumah dengan bermesra dengan Al-Quran.

Program selama sejam bermula 12.00 tengahari hingga 1.00 petang itu bagi mewujudkan kesatuan hati dalam menghadapi bahana Covid-19 yang meragut tidak sedikit nyawa di seluruh dunia, yang menggentarkan hati semua manusia. Kesatuan yang memohon belas ihsan daripada-Nya.  

Begitulah untungnya umat Islam yang diberikan mukjizat al-Quran sebagai panduan di tiap inci kehidupan. Islam sebagai cara hidup juga meminta kita taatkan setiap arahan pemimpin demi kesejahteraan bersama.

Maka dengan itu kewajipan bersolat Jumaat bagi lelaki muslim diberi keringanan hukumnya untuk hanya bersolat Zohor di rumah atas kaedah maqasid syariah yang salah satu prinsipnya adalah menjaga nyawa. Islam itu mudah dan sesuai untuk semua keadaan, usahlah ia disalah fahami kerana kejahilan diri sendiri.

Begitulah Allah mengajar hamba-Nya, tatkala leka Dia menegur dengan makhluknya yang halus, menampar kesejahteraan dan kebahagiaan kita secara diam.

(Foto: muis.org)

Jumaat pertama yang hiba, cucuran air mata membasahi baju Melayunya

| Semasa, Tumpang Bahu |