Jururawat ini bukan sahaja hebat di medan perang, tetapi guna kekayaan untuk bantu dunia perubatan

BAGI pesakit yang berada di ambang maut kerana Covid-19 atau bagi mereka yang sedang dikuarantin, pada jururawatlah tempat mereka mengadu dan mengharapkan perhatian. Ini kerana hanya para jururawatlah yang paling hampir dengan kehidupan mereka kini yang terpaksa berpisah dengan keluarga.

Tugas jururawat kini semakin disanjung orang ramai setelah melihat susah payah barisan hadapan menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19 serta usaha mereka memerangi wabak ini. Di mana sahaja di pelosok dunia, mereka ini dihargai dan dipuji kerana pengorbanan fizikal dan mental memastikan masyarakat terus terjamin keselamatannya.

Bagi mereka yang pernah terhutang budi pada jururawat, pasti mereka akan kagum dengan srikandi Islam bernama Rufaidah binti Sa’ad Bani Aslam al-Khazraj yang hidup di zaman Rasulullah s.aw. dan memberi sumbangan yang amat besar dalam dunia kesihatan.

Lebih dikenali dengan nama Rufaidah al-Aslamiyyah, beliau merupakan seorang perawat pertama dalam sejarah Islam. Wanita berani ini sanggup menerobos kawasan-kawasan perang untuk menyelamatkan dan mengubati kecederaan tentera.

Meneliti sejarah hidupnya, ternyata Rufaidah menceburi bidang ini semata-mata kerana ingin berbakti. Sekiranya beliau ingin hidup kaya, kerja ini mungkin tidak menjadi cita-citanya kerana Rufaidah adalah orang yang kaya raya, berkebolehan membaca dan juga menulis.

Tidak hanya bertindak sebagai jururawat, Rufaidah bertindak proakif menyelesaikan masalah sosial dan memimpin masyarakat dalam menghadapi wabak dan penyakit pada zamannya, juga sangat arif berdepan masalah kejiwaan.

Rufaidah berminta mempelajari ilmu kejururawatan sewaktu beliau menjadi pembantu ayahnya, seorang doktor. Beliau digambarkan sebagai jururawat teladan, baik dan bersifat empati, selain memiliki ciri kepimpinan, bijak mengurus dan memberi motivasi pada orang di sekelilingnya.

Tidak hanya bertindak sebagai jururawat, Rufaidah bertindak proakif menyelesaikan masalah sosial dan memimpin masyarakat dalam menghadapi wabak dan penyakit pada zamannya, juga sangat arif berdepan masalah kejiwaan.

Ketika Perang Badar, Uhud, Khandaq, dan Khaibar, Rufaidah menjadi sukarelawan yang merawat para tentera dengan melatih para muslimah menjadi perawat. Beliau juga memperkenalkan sistem syif malam dan siang untuk melancarkan urusan rawatan; yang menjadi ikutan sehingga kini.

Apabila khidmat dalam perang tidak lagi diperlukan, beliau membuka klinik percuma untuk merawat para pesakit sebagai meneruskan khidmatnya dalam bidang yang amat dicintai ini.

Apa yang direntas Rufaidah suatu ketika dahulu diteruskan lagi oleh para jururawat yang sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 ketika ini.

Jika Rufaidah berjuang di medan perang, para jururawat kini pula berperang dengan musuh tanpa wajah; kedua-duanya bertugas membantu menyelamatkan insan yang mungkin sedang berdepan maut.

Untuk segala bakti mereka, kita ucapkan Selamat Hari Jururawat Sedunia! Semoga jasa mereka menjadi saham terbesar untuk mereka semua.

Gambar: www.kk.usm.my

Jururawat ini bukan sahaja hebat di medan perang, tetapi guna kekayaan untuk bantu dunia perubatan

| Kesihatan, Semasa |