“Kakak kena kuat menghadapi ujian dan Kakak kena cepat menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang,” pesan Ustaz Nizam kepada mangsa samun Jalan Kuching

MUSIBAH yang berlaku tanggal 26 Ogos lalu mungkin semakin dilupakan masyarakat, tetapi tragedi pahit yang berlaku pada dirinya tidak mungkin pudar dalam ingatan gadis ini.

Peristiwa disamun di Jalan Kuching yang menyebabkan kecederaan parah sehingga tangan kanannya terpaksa dipotong, mengalami patah di lengan kiri, serta pendarahan dalam otak, buah pinggang, hati dan limpa mendapat liputan luas di media perdana dan media sosial ketika itu.

Menjejaki khabar terkini mangsa kejadian, Siti Nur Azizah Syafriadi, Skuad Jejak Asnaf mengunjungi kediaman beliau bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Ustaz Mohd Nizam Yahya dan Timbalan Pengurus Baitulmal, Ustaz Ahmad Saifuddin Md Tahir @ Twahir untuk menyantuni Siti dan keluarganya di Jinjang Utara semalam.

Menurut Baitulmal MAIWP, keperluan keluarga ini bukanlah asing bagi warga MAIWP kerana sejak tahun 2011, Baitulmal MAIWP telah meringankan perbelanjaan mereka dengan skim-skim bantuan seperti Bantuan Kewangan Bulanan, Bantuan Sewa Rumah, Bantuan Kecemasan (Covid-19), Bantuan Menyelesaikan Hutang, Bantuan Persekolahan Anak dan Bantuan Hari Raya Aidilfitri.

Ini dengan harapan, nasib ibu Siti, Roslinawati yang merupakan ibu tunggal dalam membesarkan lima orang anak yang masih kecil ini terbela semenjak suaminya meninggal kira-kira tiga tahun dahulu.

Siti Nur Azizah Syafriadi (tiga dari kiri) ketika menerima kunjungan Skuad Jejak Asnaf bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Ustaz Mohd Nizam Yahya dan Timbalan Pengurus Baitulmal, Ustaz Ahmad Saifuddin Md Tahir @ Twahir di kediaman keluarganya di Jinjang Utara semalam. (Gambar FB Baitulmal MAIWP)

Berkat kesabaran dan doa ibu tercinta, Siti kini sudah beransur pulih dan mampu berbual dengan pihak Baitumal dengan baik dan nada yang begitu positif.

Dalam pertemuan itu, selain memberi bantuan tambahan, Ustaz Nizam juga menitipkan kata-kata semangat kepada Siti.

“Kakak kena kuat menghadapi ujian dan Kakak kena cepat menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang. Kakak mesti kuat untuk bantu ibu. Abang (merujuk kepada anak ketiga) pun sama. Abang sekarang ialah wali kepada kakak dan adik-adik. Abang Ngah kena belajar sungguh-sungguh dan jaga ibu dan keluarga bila dah berjaya nanti,” pesan Ustaz Nizam.

Setiap yang berlaku ada hikmahnya, sejak peristiwa tersebut, nasib yang menimpa Siti telah mendapat perhatian masyarakat sehingga ramai pihak turun menghulurkan bantuan daripada sudut kewangan, keperluan rawatan dan lain-lain.

Selain bantuan kewangan, kata-kata semangat sangat perlu dibekalkan kepada insan yang pernah melalui pengalaman pahit dalam usia semuda beliau sebagai bukti dalam gelapnya kejahatan itu, masih ramai manusia penyayang dan penuh kebaikan.

Gambar: Siti Nur Azizah Syafriadi disamun di Jalan Kuching ketika membonceng motosikal pada 26 Ogos lalu, menyebabkan kecederaan parah sehingga tangan kanannya terpaksa dipotong, mengalami patah di lengan kiri, serta pendarahan dalam otak, buah pinggang, hati dan limpa. (FB Ebit Lew)

(14)

“Kakak kena kuat menghadapi ujian dan Kakak kena cepat menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang,” pesan Ustaz Nizam kepada mangsa samun Jalan Kuching

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>