Kanak-kanak cedera selepas tiru aksi YouTube

BAGAIMANA boleh tercedera dengan menonton YouTube? Kemalangan yang berlaku di Belfast ini boleh dijadikan panduan pada para ibu bapa supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak.

Gara-gara meniru aksi dalam video di YouTube, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera di bahagian muka dan leher setelah disambar api.

Menurut laporan Belfast Live, kejadian itu menimpa Dale Robinson ketika bermain bersama rakannya di taman berhampiran rumahnya di United Kingdom. Robinson meniru aksi yang dilihatnya dalam video iaitu menggunakan pemetik api, deodoran dan tong petrol.

Sebaik sahaja pemetik api dihidupkan, api terus menyambar bahagian mukanya serta jaket yang dipakai. Robinson melecur di bahagian wajah, kepala dan leher, manakala jaketnya pula mencair, menambahkan lagi kecederaan wajah dan kepalanya.

Akibat kesakitan, Robinson berlari di sekeliling taman permainan untuk meminta bantuan. Mangsa kemudian dibawa ibunya Deborah Moore ke hospital. Robinson bernasib baik kerana kecederaan itu tidak sampai ke tahap yang memerlukan pembedahan plastik. Mangsa hanya ditahan di hospital selama sehari sebelum dibenarkan pulang pada hari Krismas lalu, lapor Agensi.

“Salah seorang rakannya memberitahu api menyambar seperti puting beliung sebelum meletup di muka Robinson. Mukanya kehitaman disebabkan jaket yang dipakai mencair,” kata Moore.

Moore juga menyifatkan kejadian itu sebagai kenangan Krismas paling buruk, namun bersyukur kerana keadaan Robinson bertambah baik, walaupun wajahnya masih berparut.

Gambar: (Kiri) Dale Robinson yang cedera di bahagian muka dan leher. (Kanan) Jaket hitam yang dipakai Robinson sewaktu kejadian.

Kanak-kanak cedera selepas tiru aksi YouTube

| Semasa |