Kanak-kanak yang pernah diperkecil kerana tidak pandai membaca oleh seorang ibu kini selamatkan anak wanita itu daripada lemas

SEORANG bapa yang sedang menemani anaknya berusia tujuh tahun mandi-manda di kolam renang di kawasan perumahannya dikejutkan jeritan seorang ibu yang panik apabila anaknya yang turut sama mandi di situ sedang kelemasan kerana terlepas pelampung.

Bapa tersebut dengan pantas mengarahkan anaknya, Hannah yang sedang berenang untuk membantu kanak-kanak lemas tersebut dengan melonjakkan tubuh mangsa ke atas.

Menurut pemilik laman Facebook Abu Hannah, pada masa kejadian beliau berada agak jauh dari mangsa, hanya kedudukan anaknya Hannah paling dekat, tambahan pula tiada orang dewasa lain berdekatan.

“Hannah! Tolak budak tu naik atas. Jangan bagi dia tenggelam!” Seru Abu Hannah pada anaknya yang berada kira-kira satu meter daripada mangsa lemas.

Hannah yang sememangnya cepat menangkap sebarang arahan dengan pantas terus menyelam dan menolak kaki dan punggung budak berusia lapan tahun yang bertubuh agak besar dan berisi untuk memberi daya momentum supaya mangsa terus kekal terapung.

“Mata aku sambil berlari dan melompat memerhatikan aksi Hannah sebab aku takut Hannah putus nafas sebab penat menyelam beberapa kali menolak budak itu ke atas,” tulis Abu Hannah.

Akhirnya mangsa dapat diselamatkan. Ramai yang mengucapkan terima kasih kepada beliau tetapi bagi Abu Hannah, ucapan terima kasih itu sepatutnya diucapkan pada Hannah atas keberanian dan kepantasannya menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

“Aku senyum lebar sebab tak sangka nafas Hannah agak panjang. Betullah, dalam keadaan terdesak, kekuatan sebenar manusia akan keluar. Daya untuk kekal hidup.

“Aku peluk Hannah selepas ibu budak itu bawa dia ke hospital. Dia dalam keadaan sedar. Belum lemas betul. Cuma sedikit tersedak air barangkali, air baru masuk ke saluran pernafasan… belum sampai ke paru-paru,” jelas Abu Hannah lagi.

Mengimbau kenangan lalu, Abu Hannah berkata, ibu mangsa suatu ketika dahulu pernah membuatkannya berkecil hati kerana memperlekeh keupayaan anaknya Hannah yang belum pandai membaca pada usia enam tahun.

“Sebenarnya aku terkejut sebab akak yang anaknya lemas ni pernah kecilkan hati aku lama dulu. Tapi aku tak ambil peduli sebab dah biasa dengan kata-kata manusia ni. Tak rugi sikit pun,” luah Abu Hannah.

“Hannah dah enam tahun tak pandai membaca? Eh… Tak boleh macam tu, dik. Sekarang sekolah kena pandai membaca tau, masuk tujuh tahun. Nak jadi apa kalau tak pandai membaca?” Kata wanita itu kepada Abu Hannah setahun lalu.

“Hannah dah enam tahun tak pandai membaca? Eh… Tak boleh macam tu, dik. Sekarang sekolah kena pandai membaca tau, masuk tujuh tahun. Nak jadi apa kalau tak pandai membaca?” Kata wanita itu kepada Abu Hannah setahun lalu.

Menurut Abu Hannah, anaknya memang belum cekap membaca tetapi beliau yakin akan sampai masanya Hannah akan pandai membaca dengan lancar.  Namun baginya percakapan wanita itu yang juga ibu serta guru tidak sesuai untuk menghukum Hannah.

“Saya dah lupa benda akak cakap setahun dulu. Tapi bila jadi macam ini teringat saya. Dan saya bersyukur anak saya tak pandai membaca tapi dia mampu bagi manfaat pada org lain.

“Yang selamatkan anak akak bukan saya. Allah hantar Hannah untuk bantu anak akak supaya bertahan. Dan akak kena cakap terima kasih pada dia. Bukannya saya,” jawab Abu Hannah pada wanita tersebut.

Bagi Abu Hannah, sikap memperkecilkan insan lain tidak sepatutnya dijadikan amalan kerana setiap manusia dianugerahkan kelebihan masing-masing.

“Senyum aku setiap kali teringat Hannah gigih menyelam dan bertahan untuk menolak budak tu ke atas. Sekarang baru aku faham kenapa Nabi sa.w. sabda (gesa) belajar berenang dan apa kaitannya dengan jadi mukmin yang kuat dan bermanfaat,” tulis Abu Hannah pada akhir ceritanya.

Manusia itu tidak mempunyai pengetahuan tentang apa yang akan berlaku pada waktu mendatang, maka mendoakan yang baik-baik apabila terlihat sesuatu kelemahan insan lain adalah lebih baik daripada melontarkan cemuhan.

Hanya Allah yang tahu pada masa ketikanya insan yang dicemuh itu akan berjasa kepada kita. Teguran Allah itu dalam pelbagai cara!

Gambar: Hannah sedang mandi kolam tempat kejadian beliau menyelamatkan kanak-kanak hampir lemas.

Kanak-kanak yang pernah diperkecil kerana tidak pandai membaca oleh seorang ibu kini selamatkan anak wanita itu daripada lemas

| Semasa, Tumpang Bahu |