Kecelaruan berbelanja melebihi keperluan boleh jejas kesihatan mental wanita

OLEH: DR. ROSHAIZA TAHA DAN DR RAJA ZIRWATUL AIDA RAJA IBRAHIM

DEWASA ini ramai yang menjadikan individu popular di media sosial yang lebih dikenali sebagai “instafamaous” atau “YouTuber” sebagai idola dan meniru segala apa yang dilakukan oleh individu terbabit.

Individu berpengaruh ini akan mempertontonkan kehidupan seharian mereka dan menunjukkan kesempurnaan sehinggakan pengikut yang obses pasti berimpian menjadi seperti mereka.

Setelah berjaya mengumpulkan pengikut setia, mereka akan mula mengeluarkan produk seperti koleksi tudung, produk kecantikan, produk makanan dan produk kesihatan di bawah label mereka. Pengikut-pengikut ini akan berusaha mendapatkan barangan tersebut walaupun kos yang dikenakan kadangkala tidak masuk akal. Malah mereka sanggup mengikat perut demi memiliki produk idaman tersebut.

Setiap koleksi yang dikeluarkan harus dimiliki walaupun dalam keadaan tidak mampu, malah ada yang sanggup berhutang. Sikap berbelanja walaupun tiada keperluan berbuat demikian seperti ini mencetuskan fenomena tidak sihat.

Dari perspektif psikologi, ketaksuban melampau golongan wanita dalam pembelian boleh dikaitkan dengan kecelaruan berbelanja kompulsif. Ia juga dikenali sebagai shopaholism atau oniomania.

Tingkahlaku kecelaruan berbelanja ini merupakan salah satu daripada kriteria mekanisma daya tindak yang digunakan oleh kaum wanita sebagai medium sementara berdepan dengan tekanan. Golongan ini bukan sahaja berbelanja untuk diri sendiri tetapi juga kepada ahli keluarga dan sahabat handai.

Memenuhi keperluan emosi seperti menangani perasaan sunyi dan rasa terpinggir juga merupakan kriteria penglibatan wanita berbelanja secara kompulsif. (Gambar hiasan)

Kompulsif berbelanja ini boleh berlaku setiap hari sehinggakan ada di antara barang-barang yang dibeli tidak pernah digunakan mahupun masih kekal dalam bungkusan.

Apabila berbelanja, harga diri dan kegembiraan mereka melonjak terutama apabila diri rasa dihargai oleh rakan-rakan dan diberi layanan istimewa oleh penjual. Memenuhi keperluan emosi seperti menangani perasaan sunyi dan rasa terpinggir juga merupakan kriteria penglibatan wanita berbelanja secara kompulsif. Walaubagaimanapun kepuasan ini hanya bersifat sementara dan mula menggangu kefungsian kehidupan normal seseorang wanita sekiranya gagal dikawal.

Cara untuk mengawal diri daripada berbelanja adalah dengan merancang kewangan dengan baik. Seseorang itu perlulah celik kewangan. Celik kewangan dalam bahasa mudah ialah kemampuan untuk mengurus kewangan dengan baik. Individu yang celik wang kebiasaanya akan bebas daripada bebanan hutang yang tidak perlu seperti hutang peribadi dan mempunyai kehidupan yang selesa.

Dalam mengurus kewangan dengan baik seseorang perlulah sentiasa membuat pertimbangan yang betul apabila perlu membuat keputusan sama ada untuk memenuhi keperluan atau kehendak. Sebagai contoh dalam bulan yang sama koleksi baru dikeluarkan oleh idola dan cukai kereta tamat tempoh, yang manakah perlu lebih diutamakan.

Kompulsif berbelanja ini boleh berlaku setiap hari sehinggakan ada di antara barang-barang yang dibeli tidak pernah digunakan mahupun masih kekal dalam bungkusan.

Terapi tingkahlaku kognitif merupakan salah satu kaedah terapi yang boleh membantu golongan berbelanja kompulsif. Pengisian terapi merangkumi pendedahan bagaimana berbelanja secara kompulsif merupakan satu masalah sekiranya tidak dikawal serta mengenali emosi-emosi negatif yang wujud dalam diri individu.

Terdapat banyak kesan buruk akibat ketaksuban ini. Kesan paling ketara ialah terjerumus dalam masalah kewangan terutamanya apabila mereka yang taksub ini adalah dalam kalangan B40 atau M40 yang gaji mereka pada saat ini hanya cukup untuk menampung keperluan hidup.

Selain daripada kesan buruk dari aspek kewangan, implikasi terhadap kesihatan mental juga boleh terjadi sekiranya berbelanja secara kompulsif ini tidak terkawal. Golongan ini boleh juga mengalami kecelaruan psikologi seperti kemurungan, kebimbangan dan kecelaruan personaliti.

Ini kerana mereka tidak menjangkakan bahawa perilaku mereka merupakan suatu masalah sekiranya tidak boleh dikawal dan menjadi ketagihan dan ketaksuban melampau. Keadaan ini akan mengakibatkan masalah lain seperti pecah amanah, masalah rumah tanggga dan masalah sosial.

Statistik menunjukkan bahawa golongan wanita merupakan satu pertiga daripada jumlah tenaga buruh. Golongan wanita yang berpendapatan mempunyai peluang untuk lebih berbelanja. Walaubagaimanapun ia bukanlah tiket kepada mereka untuk berbelanja kepada sesuatu yang tidak perlu.

* Profesor Madya Dr. Roshaiza Taha adalah Pensyarah Program Perakaunan, Fakulti Pengurusan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT.

* Profesor Madya Dr. Raja Zirwatul Aida Raja Ibrahim adalah Pensyarah Psikologi Program Kaunseling, Fakulti Pengurusan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT.

Penafian: Artikel yang disiarkan HBIT ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

(33)

Kecelaruan berbelanja melebihi keperluan boleh jejas kesihatan mental wanita

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>