Kelas Ngaji On The Go alternatif belajar Al-Quran dari rumah semasa tempoh PKP

OLEH ROKIAH ISMAIL (rokiah@tvalhijrah.com)

HENDAK seribu daya, tak hendak seribu dalih. Program Ngaji On The Go adalah inisiatif disediakan stesen TV AlHijrah supaya mereka yang istiqamah memperdalami ilmu Al-Quran tidak kecewa kerana tidak dapat ke kelas-kelas pengajian Al-Quran sebagaimana biasa.

Sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan pada 18 Mac lalu, semua masjid dan surau telah ditutup sementara. Aktiviti yang biasa dilakukan di sini seperti kelas-kelas belajar al-Quran, tadarrus dan pelbagai aktiviti ibadah lain turut tertangguh.

Justeru itu TV AlHijrah menyediakan alternatif kelas pengajian al-Quran secara interaktif, bersesuaian dengan keadaan semasa ketika ini secara atas talian.

“Walaupun masjid dan suraunya semuanya ditutup, hati kami tetap terbuka untuk membantu mereka menimba ilmu secara berterusan, tanpa henti lebih-lebih lagi dalam situasi seperti ini.

“Digital media adalah pilihan tepat sebagai medium penghubung untuk mengaji secara berguru,” kata Koordinator Program ini, Tuan Norazimah Tuan Mohamad.

Kelas pertama yang bermula semalam menggunakan aplikasi Apps Zoom ini membolehkan para pelajar berinteraksi dengan guru al-Quran seperti biasa, hanya platform sahaja yang berbeza.

Ia disertai tujuh pelajar wanita dan dikendalikan Ustazah Amie Sofia Ahmad yang mahir dalam ilmu al-Quran ini membolehkan para pelajar memperbetulkan bacaan al-Quran dan tajwid mereka dengan dipantau secara langsung.

Rata-rata penonton yang meninggalkan komen dalam laman Facebook TV AlHijrah menyatakan rasa syukur mereka dengan adanya program seperti ini.

Program ini akan disiarkan secara langsung di laman Facebook TV AlHijrah pada setiap Rabu hingga Jumaat, pukul 9.00 malam.

Gambar: Para pelajar sedang berinteraksi dengan Ustazah Amie Sofia sewaktu kelas bersiaran di laman Facebook TV AlHijrah semalam.

Kelas Ngaji On The Go alternatif belajar Al-Quran dari rumah semasa tempoh PKP

| Semasa |