OLEH: NURHAZIRAH ZAINUDIN
DRAMA Kemboja di Hati merupakan sebuah karya yang menarik bagi saya. Ringkasnya, ia sebuah karya pembangun jiwa yang menyuntik pelbagai unsur tauladan untuk direnungi. Melihat dari tajuknya sahaja, hati sudah terjentik dengan metafora yang cuba disampaikan yakni kematian.
Sungguh halus cara yang digunakan untuk menyedarkan hati dari kelalaian. Jika ditelusuri jalan ceritanya, hanya dengan memikirkan kematian dapat membuatkan seseorang itu bersiap siaga dalam membaiki catatan amalnya. Malah penonton juga akan dihidangkan dengan pelbagai senario yang mungkin terjadi pada keluarga yang ditinggalkan pasca kematian orang tersayang, lebih-lebih lagi jika itu merupakan sosok seorang ibu, sang penyeri kehidupan.
Imtizam dan Solehah merupakan suami isteri yang saling mendukung. Hidup sebagai sebuah keluarga dengan tiga cahaya mata iaitu Zalis, Zarifi dan Zaza sudah cukup membahagiakan. Namun siapa sangka, Solehah diuji dengan penyakit kritikal yang boleh menyebabkan kematiannya.
Di sini, saya cukup kagum dengan pembawakan watak Solehah yang kekal tenang walhal kematian sudah menyapa. Walaupun sakit, Solehah masih tegas dengan pendiriannya untuk menyokong perjuangan suami dalam Pertubuhan Haluan yang menjalankan misi kemanusiaan kerana dia sedar dengan merelakan kepergian Imtizam, dia juga secara tidak langsung turut berjuang bersama.
Solehah tidak manja, tidak seperti kebanyakan watak isteri yang dipertontonkan menerusi drama lain. Solehah juga cekal walaupun bersendirian dalam menunaikan tanggungjawabnya mendidik anak-anak seperti yang telah dipersetujui bersama Imtizam.
Menariknya di sini, tidak ramai pasangan mampu bertoleransi sampai ke tahap Imtizam dan Solehah, juga tidak ramai yang sanggup mewakafkan kehidupan mereka sepenuhnya seperti Imtizam demi membantu masyarakat di luar sana.
Walaupun kehidupan mereka seakan sempurna pada awal cerita, kematian ahli keluarga mengubah segala-galanya. Kematian Solehah benar-benar memberi tamparan hebat kepada Imtizam. Perasaan terkilan menguasai diri sehingga Imtizam mengabaikan anak-anaknya. Malah Imtizam tidak berupaya mengurus keluarganya sendirian akibat dari perjanjian bersama arwah isterinya dahulu.
Zalis mula hilang semangat belajar dan begitu terikat dengan amanat Solehah. Zarifi pula berhadapan dengan trauma akan detik-detik kematian ibunya selain memberontak dan mempersoalkan tanggungjawab Imtizam sebagai bapa. Zaza si bongsu hanya mampu menangis kerinduan. Mujur kehadiran Faizal, adik kepada Imtizam mengubah segala-galanya.
Kisah antara Imtizam, Faizal dan Solehah juga cukup menarik walaupun tiada langsung adegan mereka bertiga kecuali melalui penceritaan oleh Tuan Haji, pemilik Darul Kifayah tempat di mana mereka dibesarkan.
Walaupun Faizal kecewa cintanya terhadap Solehah tidak berbalas, namun dia telah berdamai dengan takdirnya. Situasi Faizal merupakan satu contoh yang baik untuk diteladani kerana dia langsung tidak menyimpan dendam terhadap Imtizam walaupun hatinya terluka. Malah, dia sanggup mengorbankan
kerjayanya demi menjaga anak-anak saudaranya itu. Benarlah, air yang dicincang tidak akan putus.
Akhir sekali, konflik antara Imtizam, Faizal dan Syatila juga menarik untuk dilihat. Cinta memang mengelirukan dan Syatila telah jatuh dalam perangkap cinta. Faizal yang sedaya upaya menambat hatinya langsung tidak dipandang sebaliknya Syatila mula sukakan Imtizam.
Faizal pula menyalahkan takdir kerana seakan-akan mempermainkannya dalam situasi yang sama buat kali kedua apabila dia melihat Imtizam melamar Syatila sebagai ahli keluarganya. Akhirnya Syatila sedar bahawa dia sekadar kagum pada perjuangan si abang lalu mula membuka hati untuk menerima Faizal.
Pengakhiran drama ini saya rasakan cukup berkesan kerana telah memberi keadilan sewajarnya buat kesemua watak yang ada.
Gambar: Solehah (lakonan Eja) menghidap penyakit kritikal dan tidak diketahui oleh suaminya yang sibuk dengan urusan pekerjaannya.
* Penulis adalah Peserta Pertandingan Menulis Review Rancangan AlHijrah Plus.