Kesempatan yang dirindui

OLEH IZZAT SYAMIR ISMAIL
(izzat.syamir@tvalhijrah.com)

ANGKA kematian akibat Covid-19 di Malaysia kini terus meningkat kepada 14 orang.  Kerajaan pula bertungkus-lumus melakukan usaha menyekat penularan wabak ini supaya keadaan tidak bertambah parah.

Apa yang berlaku di Itali sekarang ini perlulah dijadikan panduan. Sikap warga Malaysia  yang masih ‘bersenang-lenang’ dan tidak mengambil peduli terhadap masalah global ini sangat mendukacitakan.

Itali lumpuh kerana masalah sikap sebahagian rakyatnya sendiri yang tiada kesedaran tentang bahayanya wabak ini. Kini, mereka sudah kehilangan sebuah kehidupan yang sangat berharga.

Tiada lagi kunjungan ke rumah sanak-saudara, pertemuan dengan rakan-rakan, malah ada yang tidak dapat bertemu ahli keluarga sendiri. Mereka hanya mampu untuk berdoa agar diberi kesempatan sekali lagi untuk bersama-sama mereka.

Nasib yang menimpa seorang pesakit Covid-19 di Itali, Stefano Bollani yang merayu untuk keluar hospital sepatutnya menyedarkan kita betapa berharganya hidup aman dan sihat. Bollani tidak dibenarkan berjumpa isterinya, apatah lagi pulang ke rumah dalam saat demikian.

Itali yang cukup lengkap dengan peralatan hospital serba moden dan canggih sendiri tidak mampu untuk mengawal penularan wabak ini apatah lagi mengubati ribuan pesakit Covid-19 tersebut.

Kejayaan China yang dapat membina hospital dalam masa seminggu juga tetap cemas menghadapi serangan Covid-19, menandakan wabak ini bukan boleh dipandang enteng.

Barisan hadapan yang sedang berperang ini juga ada kehidupan mereka. Selain bertarung di hospital sehingga tidak sempat makan minum, mereka juga rindukan keluarga.

Selain masalah prasarana, masyarakat kita juga berdepan masalah sikap. Mereka gagal mengawal sikap pentingkan diri sendiri. Mereka cepat panik, pada masa yang sama sukar mendengar arahan kerajaan.

Sewaktu kerajaan mengarahkan supaya masing-masing duduk di rumah, masih ramai berpusu-pusu memenuhi segenap ruang pasaraya. Mereka mungkin tidak terfikir pun bagaimana keadaan keluarga petugas kesihatan yang berkorban apa sahaja.

Barisan hadapan yang sedang berperang ini juga ada kehidupan mereka. Selain bertarung di hospital sehingga tidak sempat makan minum, mereka juga rindukan keluarga.

Ingatan pada mereka tidak pernah luput di fikiran namun akan wujud lagikah kesempatan seperti itu sekiranya keadaan negara semakin buruk?

Maka selagi ada kesempatan untuk duduk di rumah bersama-sama keluarga, manfaatkanlah ia. Penuhi kesempatan ini dengan titipan doa dan harapan kepada petugas kesihatan agar terus diberi kekuatan untuk membantu para pesakit.

Mereka berkorban untuk kita. Jadi, sempat lagikah kita untuk bersambil lewa mengunyah ‘super ring’ sambil menunggu wabak datang menjengah kita pula? Hargailah kesempatan yang ada, sebagai tanda menghargai pengorbanan mereka.

* Gambar MKN

Kesempatan yang dirindui

| Semasa |