Kesucian Aidilfitri dicemari kejahatan manusia, sebelas ekor kucing mati bergelimpangan di pangsapuri akibat diracun

SEBELAS ekor kucing yang mati, dipercayai diracun itu akan menjadi saksi di akhirat nanti sekiranya pelaku jenayah tidak berperikemanusiaan itu terlepas di dunia.

Kesemua mayat kucing tersebut ditemui bergelimpangan di sebuah pangsapuri di Bukit Beruntung, Rawang, petang Khamis lepas.

Menurut hantaran di laman Facebook milik Persatuan Haiwan Malaysia semalam, kejadian menyayat hati itu mencemar kegembiraan menyambut Aidilfitri.

“Kegembiraan menyambut Aidilfitri tercemar apabila dakwaan 11 ekor kucing ditemui mati bergelimpangan dibunuh kejam akibat diracun di Apartment Seri Lily Bukit Beruntung.

“Ini merupakan satu perbuatan amat zalim dan tidak berperikemanusiaan,” kata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

NGO itu juga memohon kepada saksi kejadian untuk tampil membantu menyalurkan maklumat berhubung kes itu supaya pengganas daripada kalangan pembunuh haiwan tidak terlepas tanpa diadili.

“Setiap hal kezaliman haiwan perlukan kerjasama semua pihak tampil memberanikan diri jadi saksi, lapor kes dan bekalkan bukti dengan lengkap dan sempurna. Jika takut atau tidak paham, boleh dapatkan khidmat Animal Malaysia dengan menghubungi melalui WhatsApp di talian +601120901097,” kata pertubuhan itu lagi.

Atas apa alasan sekalipun, perbuatan menganiayai apatah lagi membunuh haiwan tanpa sebab dibenarkan atau secara sengaja adalah bertentangan dengan agama dan undang-undang.

Atas apa alasan sekalipun, perbuatan menganiayai apatah lagi membunuh haiwan tanpa sebab dibenarkan atau secara sengaja adalah bertentangan dengan agama dan undang-undang.

Perbuatan ini merupakan kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan jika pelaku berjaya dijejak, hukuman penjara minimum satu tahun sehingga maksimum tiga tahun atau denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 boleh dikenakan terhadap pesalah.

Mendera dan menganiaya binatang menandakan manusia sudah sampai ke tahap serendah-rendah nilai diri kerana hanya mereka yang dayus sanggup berbuat jahat kepada makhluk yang lebih lemah daripadanya.

Manusia sebagai khalifah di muka bumi sepatutnya menjadi pemimpin yang membawa kesejahteraan dan keharmonian kepada seluruh jagat; sehingga semua makhluk berasa selamat dan aman di bawah kepimpinannya. Jika sebaliknya yang berlaku, apakah beza manusia dengan binatang?

Gambar: Mayat kucing yang bergelimpangan mati dipercayai diracun di pangsapuri di Rawang. (FB: Persatuan Haiwan Malaysia)

Kesucian Aidilfitri dicemari kejahatan manusia, sebelas ekor kucing mati bergelimpangan di pangsapuri akibat diracun

| Semasa |