Ketagihan permainan telefon bimbit boleh sebabkan sakit pergelangan dan ibu jari, gunalah nikmat kesihatan pada aktiviti berfaedah.

BAGI ‘hantu’ permainan di telefon bimbit, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin menghangatkan lagi aktiviti mereka kerana lebih banyak masa luang boleh diperuntukkan untuk melayan kesukaan mereka.

Aktiviti yang pada mulanya mungkin hanya untuk melepaskan kebosanan dan akhirnya menjadi ketagihan apabila dilakukan dalam tempoh masa lama dan secara berterusan sebagai rutin ini boleh menyumbang pelbagai penyakit tanpa sedar, antaranya sindrom Quervain yang melibatkan pergelangan tangan dan ibu jari.

Menurut Dr. Zubaidi Ahmad dalam laman Facebooknya, tangan dan jari yang melakukan gerakan dengan bantuan tulang, otot, dan tendon untuk memegang dan menekan butang telefon secara berlebihan akan menyebabkan ia membengkak.

Tendon yang membengkak boleh menyebabkan rasa sakit dan merebak sehingga ibu jari dan pergelangan tangan. Keadaan ini dipanggil sindrom Quervain atau ‘de Quervain tenosynovitis’.

Tanda yang paling biasa dirasakan adalah rasa sakit yang melampau di pergelangan tangan dan bahagian bawah ibu jari dan terasa sakitnya sekiranya jari memegang atau mencubit sesuatu.

Penggunaan jari dan otot tangan secara berlebihan semasa melakukan permainan telefon bimbit akan mengakibatkan sindrom Quervain. (Gambar hiasan: Journal Sociolla)

Kesakitan ini akan meningkat lebih kuat apabila tindakan menggerak-gerakkan ibu jari dan memutar pergelangan tangan dilakukan, malah ia boleh merebak ke seluruh lengan.

Untuk merawatnya, selalunya doktor akan memberikan ubat tahan sakit untuk melegakan rasa sakit ini. Pesakit juga boleh menekapkan ais pada bahagian yang sakit jika rasa sakit tidak berulang.

Jika masih tidak berkurangan, doktor akan menyuntikkan steroid di sekeliling tendon bagi mengurangkan bengkak. Pesakit boleh urut secara perlahan-lahan di bahagian yang sakit bagi mereda bengkak pada ibu jari dan pergelangan tangan.

Pembedahan akan dilakukan untuk boleh membuka pelapis tendon bagi membolehkan tendon bergerak tanpa rasa sakit sekiranya semua usaha di atas tidak berkesan.

Kesihatan itu suatu nikmat yang Allah berikan, maka sangat tidak wajar sekiranya nikmat itu diangkat dari kita hanya kerana perkara yang kurang membawa kebaikan dalam hidup. Justeru itulah agama sentiasa menitik beratkan kesederhanaan dalam segenap aspek kehidupan setiap hamba.

Gambar hiasan: Ketagihan permainan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan dan pemain mungkin tidak menyedari kesannya secara langsung. (maskulin.com)

Ketagihan permainan telefon bimbit boleh sebabkan sakit pergelangan dan ibu jari, gunalah nikmat kesihatan pada aktiviti berfaedah.

| Kesihatan, Semasa |