Khitan wanita wajib menurut mazhab Syafie

PENSYARIATAN khitan anak perempuan adalah berdasarkan hadith Ummu Atiyyah yang bermaksud:

Sesungguhnya para wanita (mengamalkan) khatan di Madinah, lalu Rasulullah berpesan: Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami. (HR Abu Daud, dinilai Sahih oleh al-Albani)

Hadith yang hampir sama juga diriwayatkan oleh Ummu Habibah yang terkenal dengan tugasannya sebagai bidan. Rasulullah bertanya tentang perbuatannya menjalankan khitan perempuan. Lalu Ummu Habibah berkata yang bermaksud:

Sekiranya (berkhatan wanita) adalah haram, maka Rasulullah sudah pasti melarangku (dari melakukannya). Bahkan Rasulullah berkata: Ia adalah sesuatu yang halal.

Dalam mazhab al-Syafie pula, hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib mengikut pendapat yang masyhur dan seperti mana yang diputuskan oleh Imam al-Syafie. Imam al-Rafie daripada Syafieyyah ada menyebutkan suatu pendapat dalam mazhab Syafie bahawa hukumnya sunat ke atas wanita, tetap pendapat ini dianggap syadz (ganjil).

Manakala menurut Mufti Wilayah persekutuan, hukum khitan bayi perempuan ini adalah wajib. Beliau menyebutkan, “Kami mentarjihkan (mengutamakan/mengesahkan) pendapat bahawa wajib hukumnya berkhatan bagi lelaki dan perempuan.”

Khitan wanita wajib menurut mazhab Syafie

| Agama, Kesihatan |