Kisah perempuan tua dan wanita jelita, usah tunjuk kuasa pada yang tak berdaya

PEREMPUAN tua itu bersimpuh di atas tikar, berdepan dengan deretan meja penjual lain di lantai sekaki tinggi bezanya dengan lantai yang diduduki perempuan tua itu. Di hadapannya, tersusun beberapa ikat sayur-sayuran seperti pucuk midin, kangkung sungai dan batang keladi.

Saban hari, itulah jualannya, hasil kampung yang dipetik dari belukar dan paya berdekatan. Perempuan yang berusia hampir 80 tahun dan hidup sebatang kara itu bergantung hidup sepenuhnya dengan hasil jualan itu.

Dari kejauhan, kelihatan seorang wanita berpakaian anggun, kelihatannya bukan penduduk dari daerah itu. Wanita yang baharu sahaja turun dari sebuah kereta mewah bernombor pendaftaran kota besar terus menuju ke arah pasar. Tergesa-gesa menghampiri perempuan tua dan membelek-belek sayuran. Dipilihnya seikat batang keladi dengan wajah gembira.

“Dah lama saya cari batang keladi ni makcik. Bukan senang nak dapat. Mak saya kata makcik ada jual. Bungkus semua yang ada. Saya nak bawa balik ke Kuala Lumpur,” arah wanita itu.

Dengan tangan terketar-ketar, perempuan tua itu memasukkan batang keladi ke dalam plastik. Tiga ikat semuanya. Hatinya gembira kerana tidak perlu menunggu lama untuk menghabiskan jualannya.

“Berapa makcik?” Tanya wanita itu sambil membuka beg tangan berjenama dan kelihatan membelek-belek wang di dalamnya. Matanya tidak memandang penjual.  

“Enam ringgit semuanya. Satu ikat dua ringgit,” balas perempuan tua dengan suara yang lemah tetapi berbaur gembira.

“Apa… enam ringgit? Mahalnya makcik!” Tangannya yang sedang membelek duit terhenti dan matanya terjegil memandang tepat ke arah mata perempuan tua.

Perempuan tua berubah wajahnya, kelihatan tergagap-gagap. Dalam suara lemah dan tersekat-sekat, dia menjelaskan kepada wanita itu kenapa harganya sedemikian. Menurutnya, batang keladi itu bukan sentiasa ada, itu pun hasil tanamannya di sekitar rumah. Kalau mahu murah, dia akan jual keladi paya, tapi biasanya gatal.

Wanita dari bandar besar itu tidak dapat menerima alasan perempuan tua. Akhirnya dia memberi kata dua, kurangkan harga atau dia tidak akan membelinya.

Perempuan tua melepaskan jualannya dengan mengurangkan harga sebanyak dua ringgit, apatah lagi itu jualan pertamanya pagi itu dan wanita itu membeli kesemua batang keladinya. Dia memujuk hati, Allah akan menggantikan kemurahan hatinya dengan rezeki lain, bukan melalui wanita jelita itu. Biarlah permulaan rezekinya pagi itu dimulai dengan penyerahan kepada Allah.

Dia memujuk hati, Allah akan menggantikan kemurahan hatinya dengan rezeki lain, bukan melalui wanita jelita itu. Biarlah permulaan rezekinya pagi itu dimulai dengan penyerahan kepada Allah.

Wanita pembeli senyum gembira, memecut kereta pulang ke kota. Dia tidak pernah gagal dalam urusan tawar-menawar, dari sekecil pembelian sehingga urusniaga berharga ratusan ribu ringgit.

Dalam perjalanan, dia singgah di kawasan rehat dan menikmati makanan tengaharinya di sebuah kedai makan. Tiba waktu membayar, wanita itu terkejut dengan harga makanannya yang baginya sangat melampau.

“Takkanlah kepala ikan patin yang kecil itu pun harganya RM30.00,” dengus wanita itu tidak puas hati.

“Itu patin sungai, cik. Kenapa cik tak tanya saya dulu tadi?” Juruwang menjawab tanpa memandang pelanggannya, meneruskan kerja melawan pelanggan lain.

“Tak boleh kurangkah?” Suara wanita itu melemah.

Kalau nak murah cik makanlah patin sangkar,” balas juruwang dengan nada agak keras. Matanya meleret ke arah deretan pelanggan yang menunggu untuk membayar, kemudian menjegil ke arah wanita itu dengan muka kurang senang.

Dalam ketidakpuasan hati, wanita itu menghulurkan bayaran. Kali ini dia tewas dalam tawar-menawar. Dia bimbang dijerkah di depan orang ramai, apatah lagi semua yang berdiri di belakangnya kedengaran berbisik antara satu sama lain.

Apa yang berlaku antara tiga watak di atas bukanlah asing dalam masyarakat hari ini. Manusia menunjukkan kuasa pada yang lemah, kerana lupa ada yang lebih berkuasa daripadanya. Apabila “dijerkah” pembalasan, barulah terasa betapa lemahnya diri.

Dua ringgit pada seorang perempuan tua yang miskin sangat besar ertinya berbanding RM30 bagi insan berharta. Namun kerana megah diri, nilai murni sirna dari jiwa wanita muda yang menunjuk kuasa.

* Gambar sekadar hiasan (quangduc.com)

Kisah perempuan tua dan wanita jelita, usah tunjuk kuasa pada yang tak berdaya

| Agama |