Kisah wanita warga emas kutip kotak di tengah bandar Kuala Lumpur menjelang Hari Warga Emas menyebabkan lelaki ini mengalir air mata, rayu anak-anak jaga kebajikan ibu bapa dan warga tua

KHAMIS ini seluruh dunia akan menyambut Hari Warga Emas, sebagaimana yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang turut disambut di peringkat kebangsaan di negara kita.

Sambutan hari ini dibuat bagi meraikan dan memperingati golongan warga emas, selain mengiktiraf sumbangan serta peranan mereka. Bukan sedikit jasa mereka kepada pembangunan negara kita, bak kata pepatah tiada yang tua, tiadalah yang muda.

Namun menjelang 1 Oktober ini, suatu kisah sedih tentang seorang warga emas di tengah Kuala Lumpur terpapar di laman Facebook Muhammad Hassan. Beliau memuatkan gambar seorang wanita warga emas sedang mengutip kotak dan tin, mungkin sebagai sumber rezeki.

“Tengok nenek ini sebak sangat-sangat. Usia di antara 60-70an, usia nenek kita di kampung. Dengan berpakaian lusuh berjalan dari tong sampah ke tong sampah mencari kotak dan tin di tengah kota raya Kuala Lumpur.

“Tertanya-tanya hati kecil saya, di mana suami beliau, di mana anak-anak. Atau mungkin makcik ini sengaja mengisi masa lapang dengan mengutip kotak ketika suami keluar mencari rezeki,” tulis Muhammad.

Menurut Muhammad lagi, beliau sempat menyapa wanita berkenaan dan mempelawa beliau makan di kedai seberang jalan, namun ditolak secara baik dengan alasan beliau telah makan.

“Sambil tunggu roti canai sampai ke meja, saya memerhati dari jauh. Makcik ini duduk di bahu jalan bersama timbunan kotak yang dikumpul, sayu wajah makcik ini. Tanpa sedar air mata saya mengalir membasahi pipi,” sambung beliau.

“Sambil tunggu roti canai sampai ke meja, saya memerhati dari jauh. Makcik ini duduk di bahu jalan bersama timbunan kotak yang dikumpul, sayu wajah makcik ini. Tanpa sedar air mata saya mengalir membasahi pipi,” sambung beliau.

“Saya membayangkan ini adalah ibu saya. Tak sanggup saya membiarkan ibu sendiri di akhir usia begini masih lagi bersusah payah mencari rezeki demi sesuap nasi. Tak sanggup saya, tuan-puan, kawan-kawan,” luah Muhammad lagi.

Beliau juga berpesan supaya setiap anak mengenang jasa ibu bapa dan menjaga kebajikan mereka, apatah lagi pada saat mereka sudah lanjut usia.

“Saat kita senang jangan lupa mak ayah. Berdosa kita biarkan mak ayah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sedangkan kita hidup senang lenang bersama anak isteri.

“Di kota raya ini banyak saya belajar. Jika kita rasa susah, rumah tak ada pendingin hawa, air kena catu, ketahuilah lebih ramai lagi insan lebih susah dari kita. Ada satu keluarga ini bersama anak kecil hidup bergelandangan mengharapkan bantuan ihsan dari orang ramai. Dapat beberapa bungkus nasi sumbangan dari seseorang satu keluarga bersila di tepi jalan menikmati hidangan,” tambah beliau.

Apa yang disaksikan Muhammad mungkin hanyalah sebuah cerita luka daripada sekian banyak cerita duka yang lain. Apabila yang terlibat itu adalah warga yang sudah lanjut usia, kesedihan berkali ganda akan menguasai jiwa kita.

Maka sempena hari mengenang jasa mereka yang bakal tiba lusa, ambillah peluang berbakti walau sekali dalam hidup anda untuk membahagiakan mereka. Kunjungilah rumah warga emas dan hulurkan bantuan anda, sama ada berbentuk materi atau kasih sayang bagi menyeri jiwa mereka!

Kisah wanita warga emas kutip kotak di tengah bandar Kuala Lumpur menjelang Hari Warga Emas menyebabkan lelaki ini mengalir air mata, rayu anak-anak jaga kebajikan ibu bapa dan warga tua

| Semasa |