Komen lucah di media sosial selebriti wanita langgar tiga perkara larangan agama

SAYA diajukan soalan mengenai kaum lelaki yang menulis komen berunsur lucah atau kata-kata yang tidak baik di platform media sosial milik selebriti wanita tidak kiralah di Facebook, Instagram mahupun Twitter.

Sebagai muslim, kita semua sedia maklum bahawa setiap perbuatan kita akan dicatat oleh malaikat yang mana semua ini akan dipersembahkan semula di hadapan Allah kelak. Komen-komen lucah sebegini terpapar di media sosial dan disaksikan oleh jutaan manusia; dicatat malaikat tanpa tertinggal sepatah huruf.

Perbuatan ini bukan sahaja mendedahkan keaiban sendiri malah mencerminkan kerosakan jiwa yang terpendam jauh di sudut hati. Mata mereka hinggap dan berkerumun pada gambar yang berunsur lucah, kemudian jari-jemari mereka melampiaskan perkataan yang tidak sepatutnya diungkapkan oleh seorang muslim.

Walhal Baginda Rasulullah SAW telah berpesan agar kaum lelaki menjauhkan diri dari maksiat dan merasa malu dengan dosa. Baginda menjelaskan bahawa seorang mukmin itu sepatutnya berasa tidak selesa dengan dosa yang dilakukan, jauh sekali mereka ingin mendedahkan perlakuan buruk dihadapan manusia.

Andai seseorang itu sanggup untuk menulis ungkapan lucah dalam media sosial ia adalah gambaran keimanan yang rapuh. Sabda Rasulullah: “Sekiranya engkau merasa tenang dengan amal kebaikan dan merasa tidak selesa dengan kejahatan yang engkau lakukan, maka engkau adalah orang yang beriman.” (Hadis riwayat Ahmad)

Malah dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah membayangkan bahawa seorang mukmin itu seharusnya melihat maksiat sebagai satu perkara yang membimbangkan. Sabda Rasulullah: “Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosanya seperti dia sedang duduk di bawah bukit dan bimbang bukit (dosa) itu itu akan menimpanya sedangkan orang yang fajir (fasiq) itu melihat dosanya hanya seperti lalat di atas hidungnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Komen-komen para isteri yang kononnya mencari suami mereka di laman media sosial selebriti menunjukkan institusi kekeluargaan kini sudah menjadi bahan mainan dan gurauan.

Oleh itu jangan kita anggap komen-komen lucah di media sosial itu hanyalah perkara yang kecil sahaja sedangkan perkataan keji sebegini dilarang oleh agama.

Mereka melakukan tiga perkara terlarang dalam satu keadaan. Pertama, mata mereka hinggap ke platform media sosial menyaksikan wanita seksi, kedua mereka kemudian meninggalkan pula komen yang lucah dan ketiga mereka tidak segan untuk mempamerkan perbuatan tidak baik ini.

Ini semua menggambarkan kedudukan jiwa yang rosak. Apatah lagi sekiranya ungkapan lucah tersebut boleh dibaca oleh semua manusia termasuk kaum keluarga, anak atau isteri sendiri. Apakah kita ingin menunjukkan contoh yang tidak baik buat ahli keluarga?  

Berhati-hatilah dalam memilih ungkapan perkataan yang ingin diluahkan atau ditulis. Ketahuilah bahawa kata-kata atau perkataan yang kita pilih berpotensi untuk merentap kita ke neraka. Sabda Rasulullah: “Seorang lelaki mengucapkan satu kalimah yang dia tidak merasakan apa-apa masalah dengannya (memandang remeh dengan kalimah tersebut), yang mana ianya boleh membawanya kepada tujuh puluh jarak neraka” (Hadis Riwayat al-Tirmizi).

Manakala dalam situasi yang lain pula, Rasulullah turut mengingatkan kita agar berhati-hati dalam memilih perkataan sekalipun dalam niat ingin bergurau. Sabda Rasulullah: “Seorang hamba mengucapkan perkataan bagi tujuan bergurau (untuk digelak) sedangkan perkataan tersebut boleh membawanya ke neraka yang jarak keduanya antara langit dan bumi.” (Mirqa al-Mafatih)

Ini semua menggambarkan kedudukan jiwa yang rosak. Apatah lagi sekiranya ungkapan lucah tersebut boleh dibaca oleh semua manusia termasuk kaum keluarga, anak atau isteri sendiri. Apakah kita ingin menunjukkan contoh yang tidak baik buat ahli keluarga?

Andai bergurau sekalipun Rasulullah menasihatkan kita agar berhati-hati memilih perkataan, apatah lagi sekiranya kita dengan sengaja mengeluarkan kata-kata lucah di khalayak ramai. Malah kata-kata lucah ini mengundang kebencian Allah.

Sabda Rasulullah: Jauhkanlah diri kamu dari berkata keji atau lucah (al-fuhsy). Sesungguhnya Allah membenci kata-kata keji atau lucah ini. (Hadis riwayat al-Nasa’i).

Andai Allah sendiri membenci perbuatan ini, mengapa tidak kita tinggalkan sahaja? Oleh yang demikian, setiap kaum lelaki dinasihatkan agar menjauhi platform media sosial yang memuat naik gambar berunsur lucah sebegini. Tahan diri dari menulis perkara yang dibenci oleh Allah.

*Gambar: Laman Facebook seorang artis tanah air yang selalu memaparkan gambar atau video berpakaian seksi dan aksi tidak bermoral sering menjadi tumpuan lelaki mata keranjang yang meninggalkan komen berbaur lucah.

*Dr Ahmad Sanusi Azmi adalah Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

PENAFIAN: Hbit.my tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Komen lucah di media sosial selebriti wanita langgar tiga perkara larangan agama

| Kolumnis, Semasa |