Kongsi gambar cincau di laman Facebook, pasangan suami isteri akhirnya jual cincau hasil buatan sendiri

PERKATAAN cincau yang semakin sohor kini di laman sosial bagi meluahkan keterbukuan hati dan kemarahan warga net terhadap sesuatu isi mutakhir ini membawa maksud yang besar dalam kehidupan sepasang suami isteri di Kuantan.

Cubaan memasak sendiri cincau sendiri jeli cincau atau lengkong untuk minuman seisi keluarga secara ‘suka-suka’ kini tanpa disangka menjadi punca pendapatan sampingan untuk mereka.

Menurut laporan Bernama Jumaat lalu, peniagaan itu bermula apabila Muhammad Syafik Ab Rahman dan isterinya Nor Hafsah Omar, kedua-duanya berusia 32 tahun, memuat naik gambar cincau yang dimasak mereka di laman Facebook.

Keterujaan berkongsi cincau hasil percubaan dari resipi yang ditunjukkan adik ipar Nor Hafsah tahun lepas itu menghasilkan satu perniagaan pula buat mereka suami isteri apabila ada permintaan supaya mereka menjualnya.

Bermula dari situ, beliau dan suaminya yang merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mula menghasilkan jeli cincau yang ditempah jiran dan kenalan dengan memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas.

Cincau jenama CheGuu Cincau produk suami isteri ini semakin mendapat perhatian sejak setahun lalu. (FB: CheeGuu Cincau HQ)

Berkongsi cara menghasilkan jeli daripada daun Mesona Chinensis, Nor Hafsah berkata sebanyak tiga bahan digunakan mereka iaitu daun yang dimport daripada Indonesia, tepung ubi kayu dan air soda.

Menurutnya, daun berkenaan akan direbus dan ditapis sebelum dicampur tepung ubi kayu dan air soda. Campuran berkenaan akan dibiarkan keras dalam tempoh kira-kira dua jam. Sekilogram daun cincau dapat menghasilkan kira-kira 70 bekas jeli.

Menggunakan nama komersial ‘CheGuu Cincau’ untuk produk mereka, Muhammad Syafik berkata kini mereka mampu menghasilkan kira-kira 300 bekas seminggu berbanding hanya 30 pada awalnya.

Produk yang diusahakan mereka dalam tempoh setahun turut dipasarkan di 30 pasar raya, kedai runcit termasuk stesen minyak di sekitar Kuantan selain mempunyai ejen jualan di Melaka dan Lembah Klang.

Malah, mereka turut menyewa sebuah lot kedai untuk menampung tempahan pelanggan terutama ketika bulan Ramadan yang mana lebih 700 bekas jeli cincau perlu dihasilkan selain lebih 8,000 botol tempahan minuman cincau diterima.

Gambar: Nor Hafsah sedang memasak cincau untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah. (Bernama)

Kongsi gambar cincau di laman Facebook, pasangan suami isteri akhirnya jual cincau hasil buatan sendiri

| Semasa |