Kongsi gejolak perasaan dengan Abby Fana dan Faizal Ismail dalam La Tahzan malam ini di TV AlHijrah

BOHONGLAH kalau kata kita tidak risau dengan perkembangan yang berlaku di tanah air; daripada ancaman kesihatan, keselamatan dan lebih-lebih lagi masalah ekonomi negara yang belum nampak sinarnya. Poket semakin menipis, hati penuh keluh-kesah, hidup tidak bebas bagai burung dalam sangkar.

Musibah yang sedang melanda ini banyak memberi kesan dalam hidup, tidak terkecuali juga kesan terhadap emosi kita. Ramai yang diserang takut, risau, gelisah, buntu – semuanya hadir kala keadaan makin menekan.

Ujian yang menimpa ini sepatutnya makin mendekatkan kita pada-Nya kerana setiap ujian mengangkat martabat hamba di sisi Allah sekiranya kita penuhi segala ruangnya dengan kesabaran. Namun bagaimana mahu bertahan dalam situasi sebegini?

TV AlHijrah cakna dengan apa yang sedang menyesak di minda saudara-saudara penonton semua. Dalam ruang PKPD yang membatasi kita semua, stesyen ini membawakan pengisian rohani melalui program La Tahzan (Allah Bersama Kita) bermula hari ini pukul 9.00 malam.

La Tahzan menjemput penonton semua berkongsi rasa dan pengalaman sepanjang berdepan Covid-19 dan sama-sama mencari cara terbaik berdepan situasi ini berpandukan nasihat dan pendekatan agama.

Panel undangan akan menitip pesan yang bersesuaian dalam menyuluh pandu kehidupan berasaskan pegangan agama dalam usaha mengurangkan tekanan perasan anda semua, manakala Faizal Ismail dan Abby Fana sebagai hos akan menyelami jiwa saudara semua melalui perkongsian apa jua kisah dan pengalaman getir anda ketika ini.

Luahkan segala rasa yang terbuku, usah segan kerana kita semua bagai batu-bata; kuat memperkuatkan antara satu sama lain untuk menghasilkan binaan yang utuh padu. Kita bagai paha kiri dan paha kanan, kerisauan anda adalah tanggungjawab kami juga cuba mengatasinya.

La Tahzan boleh ditonton di kaca TV melalui TV AlHijrah Saluran 114. Bagi mereka yang ingin berkongsi rasa dengan hos, dipersilakan menggunakan aplikasi Google Meet yang dipaparkan.

Pautan Google Meet akan dipaparkan di Facebook dan Instagram TV AlHijrah 30 minit sebelum program bermula malam ini.

Kongsi gejolak perasaan dengan Abby Fana dan Faizal Ismail dalam La Tahzan malam ini di TV AlHijrah

| Advertorial, Semasa |