Kuasa tular warga net ubah nasib bekas polis, dapat perhatian serta bantuan Baitulmal MAIWP dan PDRM Bukit Aman

TINDAKAN menularkan sesuatu perkara di laman sosial ada baik buruknya, bergantung kepada situasi dan tujuannya. Dalam kes seorang bekas polis, Rosli, 64 tahun yang dikatakan memerlukan bantuan, kuasa warga net sangat membantu kehidupan masa depan beliau.

Bertindak atas aduan awam yang diterima, Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Kebajikan Bukit Aman pada 17 September lepas telah menyantuni Rosli yang dikatakan telah meninggalkan pasukan sejak tahun 2014.

Namun sejak berhenti berkhidmat sebagai anggota, malangnya beliau mengalami sakit gastrik kronik sehingga mengganggu sistem saraf. Kesan daripada itu menyebabkan beliau sukar untuk berdiri dan berjalan seperti biasa, lapor Baitulmal MAIWP dalam laman Facebooknya.

Sungguhpun mempunyai waris, namun anak perempuannya itu tinggal di Johor selepas berkahwin. Walaupun berat, dalam keadaan kesihatan yang tidak baik itu, Rosli terpaksa mengambil keputusan meminta isterinya tinggal bersama keluarga mentuanya memandangkan pasangannya itu juga sudah tua dan uzur.

Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP dan anggota PDRM Bukit Aman bekerjasama memberi bantuan kepada seorang bekas polis pada 17 September lalu hasil maklumat orang ramai. (Gambar: FB Baitulmal MAIWP)

Untuk membantu beliau, Baitulmal MAIWP akan mempertimbangkan Bantuan Kewangan Bulanan bagi meringankan beban sara hidup setiap bulan. Selain itu, keperluan ubatan dan susu khas juga turut akan dibantu Baitulmal MAIWP dalam masa terdekat ini.

Pihak Pengurusan Teringgi PDRM Bukit Aman merakamkan ucapan terima kasih atas kebersediaan MAIWP membantu bekas anggota mereka dengan bantuan yang telah dicadangkan.

Kisah Rosli adalah antara kisah dugaan kehidupan dalam kalangan mereka yang banyak berjasa membantu mengekalkan keselamatan negara. Ada yang mendapat perhatian masyarakat dan pihak terbabit, manakala masih banyak pula kisah perit lain yang mungkin terlepas pandang. Kuasa warga net yang cakna dan bertanggungjawab mengisi kekurangan ini.

Gambar: Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP dan anggota PDRM Bukit Aman sewaktu menziarahi Rosli di kediamannya 17 September lalu.

Kuasa tular warga net ubah nasib bekas polis, dapat perhatian serta bantuan Baitulmal MAIWP dan PDRM Bukit Aman

| Semasa |