Kucing bawa anak ke hospital, Turki dipuji kerana tunjuk contoh layanan baik terhadap binatang

MUNGKIN benar pemerhatian yang mengatakan kucing akan pergi kepada mereka yang berhati mulia.

Dalam sebuah gambar yang tular di media sosial, seekor kucing menggongong anaknya ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ibu kucing ini seolah-olah meminta pertolongan pihak hospital apabila meletakkan anaknya itu di hadapan sebuah bilik rawatan.

Menyedari kehadiran kucing dua beranak itu, petugas perubatan di sebuah hospital di Turki segera melakukan pemeriksaan terhadap “pesakit” mereka.

Namun media tempatan melaporkan petugas perubatan tidak menemui sebarang tanda kecederaan atau kesakitan pada anak kucing itu, tetapi mereka tetap dihantar ke klinik haiwan untuk pemeriksaan lanjut.

Ibu kucing ini menggongong anaknya ke sebuah hospital dan meletakkannya di depan sebuah bilik rawatan. FOTO: Twitter Merve Ozcan

Kucing itu dikatakan tinggal di belakang bangunan hospital berkenaan dan diberi makan oleh mereka yang bekerja di situ.

Seorang pesakit, Merve Ozcan memuat naik gambar-gambar tersebut ke laman Twitternya dan menceritakan keadaan ketika itu.

“Hari ini ketika kami berada di wad kecemasan di hospital, ada seekor kucing menggonggong anaknya masuk ke sini,” tulisnya sebagaimana laporan ndtv.com.

Reaksi pihak hospital itu mendapat pujian pengguna media sosial yang menyifatkan cara Turki melayan kucing jalanan sebagai satu perkara yang perlu dicontohi.

Kucing bawa anak ke hospital, Turki dipuji kerana tunjuk contoh layanan baik terhadap binatang

| Semasa |