Laporan tidak tepat jejas keharmonian masyarakat

OLEH ROKIAH ISMAIL (rokiah@tvalhijrah.com)

“SAYA tidak pernah menyebut Tabung #MUSAADAHCOVID19 khusus untuk muslim,” jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau lagi, tujuan tabung ini diadakan untuk membantu mereka yang memerlukan sewaktu negara berdepan ancaman Covid-19.

“Saya telah ulang beberapa kali, tabung ini untuk mereka yang memerlukan, termasuk petugas barisan hadapan dan lain-lain seperti kader Jakim, kumpulan pengurusan jenazah dan yang berkeperluan,” tambahnya lagi.

Laporan Malay Mail hari ini yang menggunakan tajuk “Jakim launches Covid-19 fund to help Malaysia’s Muslim in need” seolah-olah mahu menunjukkan bahawa usaha yang dilakukan melalui tabung itu bersifat memilih bulu.

Beliau meminta portal berita itu membetulkan kenyataan tersebut dan membuat permohonan maaf atas perkara tersebut.

Dalam keadaan huru-hara negara dan kesungguhan kerajaan berusaha sedaya mungkin mengekang penularan Covid-19, pihak media sepatutnya tidak mencampur baurkan sentimen keagamaan.

Laporan seperti itu umpama menabur garam kepada luka yang sedang parah. Sebaliknya, jadilah ejen penenang masyarakat dan pencetus semangat melalui berita yang bermanfaat.

Laporan tidak tepat jejas keharmonian masyarakat

| Semasa |