Laungan azan di Subuh yang pilu, kesatuan yang tertangguh oleh waktu

OLEH ROKIAH ISMAIL
(rokiah@tvalhijrah.com)

SAYU kedengaran azan Subuh hari ini. Tidak pernah terfikir langsung akan mendengar azan yang seperti itu berkumandang di tanah air sendiri. Langit 18 Mac menyaksikan warga Malaysia melalui satu fasa ujian yang meminta tidak sedikit kesabaran, malah memerlukan jiwa-jiwa yang kembali pada Pencipta.

Tiada lagi deru enjin motosikal atau kereta di taman-taman perumahan yang menandakan para jemaah berkejar ke surau dan masjid di sekitar kediaman untuk bersatu dalam saf menyembah Yang Satu. Selesai azan, suasana Subuh sunyi sepi.

Beberapa hari lepas kita dijentik pilu tatkala mendengar azan di Kuwait dilaungkan dalam bait yang diubah kepada “Sollu fi buyutikum” (Solatlah di rumah kamu). Hari ini giliran kita pula melaungkan azan serupa itu. Segalanya disebabkan pandemic Covid-19 yang sudah pun tiba menguji kita semua.

Hakikatnya apa yang berlaku kini bersandarkan hadith Rasulullah yang direkodkan Imam al-Bukhari yang bermaksud, “Saidina Abdullah bin Umar pernah melaungkan azan pada malam yang sejuk di satu kawasan bernama Dajnan. Kemudian (dalam azan itu) Ibnu Umar melafazkan “Sollu fi rihalikum” yang bermaksud “Solatlahlah di rumah/kenderaan kamu. Kemudian dia memaklumkan kepada kami bahawa Rasulullah s.a.w pernah mengarahkan para muazzin untuk mengucapkan lafaz demikian pada malam yang sejuk atau ketika situasi hujan yang sangat lebat ketika permusafiran.”

Benar, ia bukan sesuatu yang baharu namun ia membawa maksud sesuatu yang di luar kebiasaan sedang berlaku di sesuatu tempat. Azan hari ini menandakan kita sedang berdepan musibah.

Benar, ia bukan sesuatu yang baharu namun ia membawa maksud sesuatu yang di luar kebiasaan sedang berlaku di sesuatu tempat. Azan hari ini menandakan kita sedang berdepan musibah.

Selari dengan itu, hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, lafaz hayya ‘alassolah (marilah bersembahyang) sewaktu azan akan diperlahankan bagi kawasan Wilayah-Wilayah Persekutuan, manakala di peringkat negeri, ia tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Cadangan itu telah disampaikan kepada wakil Istana Negara bagi menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau juga mencadangkan supaya setelah azan, bilal hendaklah berpesan, “Solatlah di rumah atau tempat kamu” dalam Bahasa Melayu kerana ia lebih difahami oleh umat Islam di Malaysia kerana sunat bagi muazzin untuk menyebut sedemikian selepas azan.

Sama-samalah kita berdoa semoga Allah mengasihani kita dan menarik secepatnya wabak Covid-19 ini dari terus memburu kesejahteraan hidup semua dengan bertaubat kepada-Nya. Daripada-Nya kita datang kepada-Nya kita kembali dalam segala urusan.

Semoga azan yang memanggil pertautan dan pertemuan jemaah di surau dan masjid, apatah lagi di Tanah Suci Mekah akan berkumandang seperti biasa, kerana di situlah bermulanya kekuatan ummah sedunia.

Gambar sekadar hiasan (www.e-solat.gov.my)

Laungan azan di Subuh yang pilu, kesatuan yang tertangguh oleh waktu

| Agama, Semasa |