“Lelaki besi” berusia lebih seratus tahun bukti mangsa Covid-19 boleh sembuh

OLEH IZZAT SYAMIR ISMAIL
(izzat.syamir@tvalhijrah.com)

KERAJAAN Itali sudah tidak mampu untuk membendung penularan wabak covid-19. Dikhabarkan angka kematian telah mencecah 10,023 orang dan dijangkakan akan terus meningkat. Presiden Itali sendiri sudah mengatakan bahawa Itali telah lumpuh sepenuhnya.

Ketika ini juga Amerika Syarikat mencatatkan angka kematian mendadak. Ramai melemparkan kutukan terhadap Donald Trump yang dikatakan gagal untuk mengatasi krisis wabak ini.

Dalam merenung kedukaan yang saban hari tersiar di dada akhbar jugamedia sosial, terselit juga beberapa kisah yang boleh dijadikan motivasi.

Sebagai contoh, seorang lelaki warga Itali yang sudah pun berumur 101 tahun dikhabarkan terselamat daripada serangan wabak ini. Lelaki ini yang hanya mahu dikenali sebagai Mr. P telah dikeluarkan daripada hospital setelah beberapa minggu bertarung nyawa melawan jangkitan ini.

Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Gloria Lissi, Datuk Bandar Rimini.

Mr. P yang lahir pada tahun 1919 telah menghadapi krisis wabak sebanyak dua kali sepanjang hidupnya. Pada tahun kelahirannya, dunia telah digemparkan dengan penularan wabak Spanish Flu dan juga H1N1 yang telah meragut jutaan nyawa manusia di seluruh dunia.

Mr. P yang lahir pada tahun 1919 telah menghadapi krisis wabak sebanyak dua kali sepanjang hidupnya. Pada tahun kelahirannya, dunia telah digemparkan dengan penularan wabak Spanish Flu dan juga H1N1 yang telah meragut jutaan nyawa manusia di seluruh dunia.

Gloria Lissi juga mengatakan bahawa penyembuhan Mr. P membuktikan betapa peluang dan ruang sentiasa wujud, yang secara tidak langsung memberi harapan cerah pada masa akan datang.

Seorang lelaki warga emas yang telah ditakdirkan menghadapi tiga serangan wabak kritikal, suasana peperangan, kebuluran, kesakitan dan krisis dalam kehidupannya mampu untuk terus hidup hingga kini.

Terdapat juga warga net yang berseloroh dengan menghantar ciapan di Twitter agar pihak saintis mengkaji DNA yang dimiliki Mr P. Ternyata keajaiban sentiasa wujud walaupun pada saat hampir berdepan kematian.

Kisah Mr P ini wajar dijadikan motivasi oleh pesakit-pesakit covid-19 di negara kita. Jika sebelum ini tular kisah seorang menteri kewangan di Jerman telah membunuh diri akibat Covid-19 ini, seeloknya kita sebagai umat Islam harus lebih percaya dengan qada’ dan qadar Allah s.w.t.

Wabak, ajal dan maut merupakan rahsia Tuhan. Apa yang penting, kita terus berdoa dan tidak berputus harap dalam menghadapi krisis ini. Sentiasalah bersikap positif dan bersabar kerana telah terbukti ada pesakit yang berjaya sembuh daripada serangan wabak ini.

Sebagai warga Malaysia, patuhilah arahan PKP agar kita dapat memutuskan rantaian penularan wabak ini, demi kebaikan kita bersama. Lebih tinggi kepatuhan kita, lebih cepat kita mampu bebas daripada belenggu wabak ini.

“Lelaki besi” berusia lebih seratus tahun bukti mangsa Covid-19 boleh sembuh

| Semasa |