Lelaki gagal dapat pekerjaan akibat sakit bisul, majikan khuatir imej syarikat terjejas

LELAKI ini bersungguh-sungguh mencari pekerjaan, namun perancangan Allah itu mengatasi segala-galanya. Beliau tidak menjangkakan langsung diuji dengan penyakit yang sedang dialami, mengakibatkan beliau gagal mendapat pekerjaan.

Duda berusia 50 tahun ini menghidap penyakit carbuncle (bisul) sehingga terpaksa membuat pembedahan di bahagian belakang leher. Beliau yang sebelum ini mampu bekerja dan mempunyai pendapatan kini tidak lagi dapat berbuat demikian dan terpaksa menunggu tahap kesihatan beliau benar-benar pulih sepenuhnya.

Keadaan itu tidak pernah mematahkan semangat lelaki tabah ini. Beliau berbaik sangka dengan Allah dan terus berusaha mencari pekerjaan dengan menghadiri beberapa temuduga. Namun dalam keadaan ekonomi dan situasi negara yang diselubungi masalah Covid-19, permohonan beliau sering ditolak atas faktor kesihatannya, selain khuatir imej syarikat terjejas.

Lelaki berusia 50 tahun ini terpaksa menunggu tahap kesihatan beliau benar-benar pulih sepenuhnya untuk bekerja semula kerana majikan tidak mahu imej syarikat terjejas.

Walaupun begitu, beliau masih bernasib baik dikurniakan beberapa orang anak yang boleh membantu saat beliau memerlukan pertolongan, walaupun beliau terpaksa menanggung perbelanjaan kos ulang-alik ke klinik mahupun hospital bagi mencuci luka pembedahan tersebut. Beliau tidak mahu membebankan anak yang baru melangkau ke alam pekerjaan dengan masalah kesihatan yang dialaminya.

Kehadiran Skuad Jejak Asnaf hari ini sedikit sebanyak memberi sinar kepada beliau untuk kehidupan yang lebih baik di masa akan datang. Berdasarkan pemerhatian, ada beberapa bantuan yang sesuai dicadangkan bagi meringankan beban yang beliau hadapi ketika ini.

Kisah lelaki ini mengingatkan kita bahawa setiap ujian itu akan beriringan dengan hikmahnya, bergantung kepada penerimaan seorang hamba sama ada mahu bersabar dan memohon pada-Nya atau bertindak menyalahkan takdir semata-mata.

Lelaki gagal dapat pekerjaan akibat sakit bisul, majikan khuatir imej syarikat terjejas

| Semasa, Tumpang Bahu |