Lelaki kumpul duit selama 15 tahun untuk tunai impian pergi haji berdepan pelbagai halangan merintang

SERING kita dengar “kasih ibu membawa ke syurga”, namun bagaimana pula gambaran kasih seorang ayah? Peranan ayah lazimnya hanya dikaitkan dengan usaha mencari rezeki untuk keluarga, dan selalu dianggap sebagai orang kedua atau ‘co-parent’ dalam penjagaan dan pendidikan anak.

Hakikatnya, peranan dan tanggungjawab ayah kadangkala lebih besar daripada peranan seorang ibu kerana ayah terlibat dalam keseluruhan proses tumbesaran anak; memberi perhatian kepada mereka dari aspek jasmani, rohani dan sahsiah.

Kasih ayah yang ditumpahkan dalam diam ini terungkap dalam peribadi seorang ayah yang mengorbankan impiannya untuk menjadi tetamu Allah di Baitullah kerana lebih mementingkan kebajikan seorang anak.

Lima kapsul berdurasi tiga minit itu disiarkan selama lima hari berturut-turut di TV AlHijrah.

Tabungan selama 15 tahun hasil jerit perih usahanya sekian lama diutamakan untuk pembiayaan menyelamatkan nyawa zuriat tercinta, Hassan. Pak Mail tidak mengalah dan terus mengisi semula tabung yang sudang kurang jumlahnya sambil menyuburkan impian yang belum tertunai.

Sekali lagi impian murninya hampir sayup tercapai tangan apabila Hassan menerima tawaran ke universiti dan memerlukan sejumlah wang yang akan mengurangkan tabungan Pak Mail.

Antara impian yang tersemat sekian lama dan kasih terhadap anak tercinta, Pak Mail berkorban sekali lagi. Wang dapat dicari, tapi zuriat sendiri harus dijaga sepenuh hati. Pak Mail terus memperbaharui semangatnya dengan terus menabung, berdoa akan terjejak jua kakinya ke Tanah Suci menyambut seruan Ilahi.

Akan tercapaikah impian Pak Mail itu?

Pengakhiran impian watak seorang ayah itu akan dimuatkan dalam rangkuman kapsul berdurasi 30 minit.

Kisah Tabung Abah berbentuk kapsul tiga minit yang disiarkan pada 26-30 Julai, pukul 7.25 malam di TV AlHijrah ini memaparkan peranan sebenar ayah yang mungkin tidak pernah kita fikirkan sebelumnya.

Pada 31 Julai, pukul 7.30 malam pula, gabungan kelima-lima kapsul dan pengakhiran cerita yang dimuatkan dalam satu episod drama ini mampu membuktikan kasih ayah bukanlah semudah yang dianggap selama ini.

“Kasih sayang abah tidak pernah putus bagai air yang mengalir,” bait dalam kapsul itu menggambarkan kasih ayah yang tidak bertepi, tidak terhad oleh sumbangan berbentuk materi semata.

Kisah berlatarkan kehidupan kampung sebuah keluarga kecil yang hidup sederhana, namun penuh kasih sayang ini disiarkan stesen TV AlHijrah bersempena sambutan Aidiladha yang agak berlainan pada tahun ini di mana ibadah haji terhalang oleh musibah pandemik Covid-19.

Lelaki kumpul duit selama 15 tahun untuk tunai impian pergi haji berdepan pelbagai halangan merintang

| Semasa |