October 12, 2024 1:43 PM
LOGO-HBIT

Lelaki warga emas sedang kelaparan selongkar sampah di tempat pembuangan, terus suap apabila menjumpai cebisan makanan

HENDAK melatih diri bersyukur, seorang yang hidupnya senang-lenang hendaklah melihat kepada kehidupan insan lain yang sentiasa dirantai kemiskinan dan kepayahan. Jika kita setiap hari boleh menikmati apa sahaja juadah yang terlintas pada nafsu, pada masa yang sama wujud manusia yang belum mampu menjamah secebis makanan pada waktu itu.

Kisah seorang lelaki warga emas yang menyelongkar tong sampah di tempat pembuangan sampah di sekitar Ipoh, Perak untuk mencari sedikit alas perut pastinya menyentuh hati sesiapa sahaja yang menontonnya.

Video lama pada tahun 2019 yang kembali tular di laman Facebook itu memaparkan seorang lelaki tua yang kurus, kelihatan seperti gelandangan; berpakaian kotor dan keadaan diri kurang terurus menyuap makanan tanpa ragu-ragu sebaik sahaja menemui cebisan makanan yang sudah menjadi sampah.

Kisah-kisah kemanusiaan seperti inilah yang harus kita hadam apabila menatap media sosial, kerana kisah sebegini mampu menjentik hati nurani kita agar lebih cakna kepada nasib orang lain dan menjadi lebih pemurah untuk membantu mereka.

Gambar: Petikan daripada video memaparkan lelaki warga emas menyelongkar sampah dan menyuap cebisan makanan yang ditemui. (Malaysian Update)