OLEH: MOHD HANIF ABDUL LATIF
MAHAR merupakan idea asal yang dicurahkan oleh Azry Razak dan telah ditayangkan menerusi saluran televisyen TV AlHijrah. Jika dilihat pada tajuknya iaitu Mahar, telefilem ini boleh diceritakan sebagai sebuah kisah cinta dua insan iaitu Izzat dan Aishah yang berjuang untuk mencari wang perbelanjaan perkahwinan mereka menjelang bulan Syawal yang bakal tiba.
Namun jika dilihat dari keseluruhan isi cerita yang telah dihasilkan, dapat disimpulkan bahawa sebenarnya telefilem Mahar ini banyak mengajar kita sebagai umat Islam tentang erti sebenar tanggungjawab dalam sebuah kehidupan.
Pertama adalah tanggungjawab sebagai seorang umat Islam di dunia. Melalui telefilem ini, kita diajar tentang kepentingan menunaikan ibadah solat. Walaupun watak abah sedang sakit, beliau tetap menunaikan solat kerana tuntutannya yang wajib dalam agama Islam.
Kita dapat pelajari bahawa Islam sangat mementingkan umatnya untuk menunaikan ibadah solat walaupun dalam apa jua keadaan sekalipun dengan ruksah yang telah diberikan. Di samping itu, kita diajarkan tentang tanggungjawab untuk menutup aurat, berpuasa di bulan Ramadan, taat kepada ibu dan bapa, berbaik dengan jiran tetangga yang berlainan agama dan banyak lagi.
Selain itu, drama ini juga mengajar tentang tanggungjawab sebagai seorang anak dan ahli keluarga. Izzat berjaya menunjukkan nilai tanggungjawab tersebut dengan ikhlas menjaga ayahnya yang sedang sakit dan sentiasa menolong keluarganya yang sedang dalam kesusahan. Izzat juga sedar akan tanggungjawabnya sebagai seorang bakal suami kepada Aishah.
Izzat berjaya menjalankan amanahnya sebagai seorang bakal suami dengan berdikari dalam menyiapkan segala persediaan sebelum menempuh ke alam perkahwinan. Contohnya seperti mengumpul wang sebagai mahar yang akan menjadi saksi kepada bukti sah kisah cinta kedua insan ini. Izzat juga sentiasa menjaga batas pergaulan, pandangan mata dan perhubungannya sebagai seorang ajnabi.
Telefilem ini juga banyak mengajar kita tentang erti kesyukuran dalam kehidupan. Izzat dan abangnya sentiasa bersyukur dan tidak pernah mengeluh dengan segala ujian yang diberikan
kepadanya. Malahan, mereka mengganggap bahawa ujian ini merupakan sebuah tanda bahawa Allah SWT sangat cinta dan sayang kepada hamba-Nya. Izzat dan abangnya juga yakin bahawa setiap ujian yang diterima olehnya akan dibalas dengan rezeki yang melimpah ruah.
Jelaslah di sini bahawa dalam menempuh hidup sebagai seorang suami, kita juga harus peka terhadap tanggungjawab sebagai seorang anak, ahli keluarga dan sebagai umat Islam yang sejati. Kita harus sentiasa yakin bahawa setiap perjuangan yang telus dan ikhlas akan ada ujian yang akan terus menimpa. Namun ujian itu akan datang dengan hikmah yang manis di hujungnya asalkan kita sedar, yakin dan bersyukur terhadap perancangan Tuhan.
Bak kata pujangga “Kita yang merancang, Allah yang menentukan dan ingatlah bahawa perancangan Allah adalah lebih baik daripada seisinya.”
Semoga rancangan telefilem seperti ini dapat terus diterbitkan lagi bagi membuka minda dan fikiran kita sebagai umat Islam dalam menghayati kehidupan dunia yang penuh mencabar. Ingatlah bahawa Allah sentiasa menolong orang-orang yang berada di dalam kesempitan. Allah akan memberikan ujian kepada setiap hamba-Nya dan jika kita bersyukur serta yakin ke atas nikmat-Nya, maka Allah akan hadiahkan kepadanya ganjaran yang berlipat kali ganda.
Semuanya bermula daripada berkat simpanan seorang lelaki yang baik dalam mencari mahar yang suci untuk perhubungan yang halal hingga ke Jannah.
Gambar: Izzat tetap memperuntukkan masa menjaga ayahnya yang sakit walaupun sibuk dengan tugasan di universiti.
* Penulis adalah Peserta Pertandingan Menulis Review Rancangan AlHijrah Plus.