Makan di merata tempat pada hari sambutan ulangtahun ke-213

OLEH ROKIAH ISMAIL
(rokiah@tvalhijrah.com)

KELIHATAN banyak hantaran di media sosial memperlihatkan gambar pelbagai aksi para anggota PDRM yang sedang bertugas. Makan minum di mana sahaja yang sempat, hanya semata-mata memastikan kita semua selamat.

HARI ini, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, para anggota Polis Diraja Malaysia menyambut ulangtahun Hari Polis Malaysia ke-213 di merata tempat – di mana sahaja mereka ditugaskan.

Walaupun memahami tahun ini tiada sambutan sebagaimana biasa kerana negara sedang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jauh di sudut hati kita mengerti, sedikit kesayuan pasti mengisi ruang hati para anggota polis. Apatah lagi terpaksa berdepan pula dengan kekacauan negara yang sedang berdepan dengan ancaman tak terlihat oleh mata, Covid-19.

Sebaliknya dalam suasana yang lazimnya dipenuhi rasa gah dan disanjungi setiap kali sambutan diadakan pada setiap tahun, hari ini mereka bertungkus lumus menjalankan tugas memastikan kedaulatan negara dan ketenteraman awam terus terjamin.

Kerajaan mengumumkan tiada sambutan ulangtahun Hari Polis Malaysia ke-213 hari ini. Foto FB: artortoise

Dalam waktu masyarakat sedang cemas memikirkan nasib masing-masing, serta segelintir pihak yang sentiasa mencari peluang mengganggu keharmonian negara seperti mempertikaikan arahan PKP, kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) lah negara berharap.

Hakikatnya, tanggungjawab memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara sebenarnya tidak seharusnya diletakkan atas bahu mereka sahaja. Sebagai anak watan, seharusnya setiap warga memahami tugas mulia menjaga nyawa, harta dan negara adalah tanggungjawab bersama.

Kita doakan warga PDRM akan terus kental dan bersemangat memberi khidmat mereka demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan warga dan negara Malaysia.

*Gambar sekadar hiasan (FB: Polis Daerah Sungai Buloh)

Makan di merata tempat pada hari sambutan ulangtahun ke-213

| Semasa |