Makan sayur-sayuran bantu kurangkan berat badan, usah pandang remeh kebaikannya kepada kesihatan

SAYA banyak membuat pemerhatian kepada cara pemakanan masyarakat kita dan selalu melihatnya dari perspektif perubatan.

Dengan penyakit tidak berjangkit atau Non-Comunicable Disease (NCD) yang semakin meningkat, saya percaya cara mengurangkan bilangan pesakit sebegini bukan sahaja dengan membuat saringan kesihatan, tetapi juga menggalakkan masyarakat Malaysia mengubah cara hidup terutamanya cara mereka makan.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ada tiga perkara yang masyarakat kita tinggalkan dalam aspek pemakanan; iaitu kita sudah kurang makan sayur-sayuran, tidak minum air kosong secukupnya dan tidak mengambil makanan yang lebih sihat seperti lemak sihat, protein sihat dan karbohidrat yang sihat.

Cuba kita perhati anak-anak kita makan. Kebanyakan daripada mereka tidak menyukai sayur-sayuran, hanya suka minum air yang manis dan tidak lagi mengambil minyak sihat dan protein sihat seperti telur dan ikan. Kebanyakan karbohidrat yang diambil adalah karbohidrat yang berproses yang tidak lagi mempunyai vitamin dan mineral.

Pada kali ini saya ingin menyentuh tentang pengambilan sayur-sayuran yang semakin ditinggalkan oleh masyarakat kita.

Allah SWT menyuruh manusia supaya memperhatikan kebesaran-Nya yang menjadikan tumbuh-tumbuhan dengan pelbagai jenis; contohnya surah Al-An’am, ayat 99 menyebut tentang pelbagai tumbuhan yang diciptakan oleh Allah SWT sebagai nikmat kepada manusia dan untuk diambil kebaikan daripadanya.

Dalam ilmu perubatan kuno pula, tumbuh-tumbuhan digunakan bukan sahaja sebagai sumber makanan, tetapi sumber penawar (ubat) bagi merawat dan mencegah beberapa jenis penyakit.

Kajian saintifik menunjukkan makan sayur dan buah sama ada yang dimasak sebagai lauk atau dimakan mentah sebagai ulam-ulaman dalam pemakanan dapat memberikan banyak manfaat, Foto: Hellodoktor.com

Banyak kajian saintifik yang menunjukkan bahawa memakan sayur-sayuran dan buah-buahan sama ada yang dimasak sebagai lauk atau dimakan mentah sebagai ulam-ulaman dalam pemakanan dapat memberikan banyak manfaat, terutama membantu mengurangkan berat badan.

Malah ia juga didapati membantu mencegah banyak penyakit yang berkaitan dengan alahan, kanser, keradangan dan penyakit-penyakit kronik.

Ini kerana sayur-sayuran dan buah-buahan itu mengandungi kaya dengan nutrient yang dinamakan sebatian flavonoids, sebatian semulajadi dalam tumbuh-tumbuhan yang bertanggungjawab terhadap warna pada sayur-sayuran dan tumbuh-tumbuhan tersebut dan memberi manfaat besar pada manusia.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh saintis di School of Public Health, Boston, Amerika Syarikat mendapati pemakanan sayur-sayuran yang mengandungi sebatian flavonoids dapat menurunkan berat badan, atau setidak-tidaknya ia membantu mengekalkan berat badan yang sedia ada.

Ini kerana, selain tumbuh-tu,buhan ini membekalkan fiber (serat) yang menyebabkan seseorang itu mudah rasa kenyang. Sebatian flavonoid akan menyebabkan seseorang itu menjadi merasa puas apabila selesai makan.

Ini dibuktikan melalui pengalaman saya sendiri yang telah berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 10 kilogram dalam masa enam bulan dengan hanya mengambil lebih banyak sayur-sayuran sebagai sumber karbohidrat dalam pemakanan, mengurangkan nasi, produk tepung dan gula yang menjadi sumber karbohidrat ringkas (refined carbohydrate) yang berbahaya kepada kesihatan.

Latihlah anak-anak dari kecil untuk makan sayur demi kesihatan mereka untuk masa depan. Foto: Hellodoktor.com

Sebatian flavonoids juga memberi kesan baik bagi mengurangkan keradangan dengan mengurangkan penghasilan dan kesan radikal bebas yang merosakkan sel-sel dalam tubuh.

Penyakit kronik seperti kanser, kardiovaskular (seperti saluran darah tersumbat dan lemah jantung), diabetes mellitus, dan penyakit keradangan usus (celiac disease) dapat dihindari.

Ia juga menggalakkan penghasilan sebatian nitric oxide yang sangat penting dalam rawatan penyakit darah tinggi dan masalah ketegangan alat kelamin lelaki (erectile dysfunction). Ia juga bertanggungjawab dalam meningkatkan daya tahan dan merawat sel-sel otak yang rosak selepas serangan strok.

Selain itu, ada beberapa kajian menunjukkan sebatian flavonoid dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit perut (gastric carcinoma) dan penyakit kanser berkaitan dengan saluran pernafasan dan mampu mengelakkan dari penyakit kanser kolonorektar.

Ia juga menggalakkan penghasilan sebatian nitric oxide yang sangat penting dalam rawatan penyakit darah tinggi dan masalah ketegangan alat kelamin lelaki (erectile dysfunction). Ia juga bertanggungjawab dalam meningkatkan daya tahan dan merawat sel-sel otak yang rosak selepas serangan strok.

Ia mengurangkan potensi seseorang mendapat penyakit kardiovaskular, malah mereka yang tidak mengambil sayur-sayuran dalam makanan mereka mempunyai risiko mendapat penyakit kardiovaskular tiga kali lebih tinggi dari mereka yang mengambil sayur-sayuran dalam pemakanan mereka.

Sebatian flavonoids juga mempunyai kebolehan sebagai pembunuh kuman dengan cara membunuh kuman secara langsung, menambah kesan positif antibiotik dan mengurangkan kekuatan bakteria dengan merangsangkan beberapa enzim untuk memusnahkan dinding sel bakteria.

Oleh itu memakan sayur-sayuran dan buah-buahan yang mempunyai banyak warna-warna seperti warna merah, kuning, hijau, dan biru adalah sangat digalakkan. Latihlah anak-anak untuk makan sayur-sayuran demi kesihatan mereka kelak.

Ambillah serat dari sayuran-sayuran sebanyak 30 gm sehari atau dengan perkataan yang lebih mudah, antara 5-8 cawan sayur-sayuran sehari.

*Dr Zubaidi Haji Ahmad adalah pengamal perubatan am.

PENAFIAN: Hbit.my tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

*Gambar hiasan

Makan sayur-sayuran bantu kurangkan berat badan, usah pandang remeh kebaikannya kepada kesihatan

| Kesihatan, Kolumnis, Semasa |