Malaysia juara penduduk tergemuk paling tinggi Asia

CIAPAN di Twitter Kementerian Kesihatan semalam sempena Hari Diabetes Sedunia mendedahkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai bilangan penduduk ‘tergemuk’ paling tinggi di Asia.

33 peratus rakyat Malaysia mempunyai masalah berlebihan berat badan dan 18 peratus pula mengalami obesiti.

Menurut ciapan itu lagi, sekiranya ibu bapa mengalami obesiti, anak pula berisiko 13 kali ganda mewarisi masalah itu. Justeru itu, kementerian menyarankan supaya rakyat Malaysia mengawal berat badan dan bersenam untuk mengurangkan risiko diabetes.

Obesiti adalah penyakit tidak berjangkit tetapi sukar diubati. Malah menurut perunding kecergasan dan kesihatan, Kevin Zahri, masalah obesiti boleh mengundang maut.

“Penyakit ini terjadi kerana tiada kawalan pemakanan yang mengundang pelbagai penyakit seperti kencing manis, tekanan yang melampau dan peningkatan kolesterol yang menjadi punca kematian,” katanya sebagaimana laporan Sinar Harian, hari ini.

Kanser disebabkan obesiti adalah fenomena baharu bagi rakyat Malaysia. Setiap seorang daripada setiap 10 lelaki dan seorang daripada setiap sembilan wanita di Malaysia menghadapi risiko penyakit kanser kerana mengalami obesiti.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye sewaktu melancarkan Hari Kanser Sedunia 2019 pula, kanser disebabkan obesiti adalah fenomena baharu bagi rakyat Malaysia. Setiap seorang daripada setiap 10 lelaki dan seorang daripada setiap sembilan wanita di Malaysia menghadapi risiko penyakit kanser kerana mengalami obesiti.

Kita berharap rakyat Malaysia cepat sedar terhadap bahaya penyakit seumpama anai-anai yang merosakkan pengidapnya secara perlahan-lahan. Jangan tunggu sehingga kerajaan mengambil tindakan menggubal undang-undang khusus bagi menangani masalah ini dahulu baru mahu berubah.

Menurut tulisan Dr. Zulqarnain Lukman dalam Wilayahku, Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan, Jepun pada tahun 2008 telah pun memperkenalkan satu undang-undang yang dikenali sebagai “Metabo Law” (Undang-­Undang Metabo) yang menghendaki setiap lelaki dan wanita yang berumur antara 40 hingga 74 tahun untuk mengambil saiz pinggang mereka setiap tahun bagi menangani masalah ini.

Tahap ukur lilit pinggang yang ditetapkan adalah 33.5 inci untuk lelaki dan 35.4 inci untuk wanita.

Undang-undang ini juga menghendaki supaya pihak insuran kesihatan bagi setiap syarikat untuk menyediakan kelas penurunan berat badan bagi pekerja mereka, juga akan mengenakan denda terhadap syarikat atau majlis perbandaran yang tidak mencapai sasaran mereka.

Adalah dilaporkan bahawa ada syarikat yang telah didenda sehingga AS$19 juta kerana gagal mematuhi undang-undang ini.

Malaysia juara penduduk tergemuk paling tinggi Asia

| Kesihatan |