DALAM ketidaktentuan ekonomi ekoran menularnya wabak Covid-19, ramai majikan terpaksa membuang pekerja supaya dapat terus bertahan dalam perniagaan. Dalam sesetengah keadaan pula ia umpama ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Namun langkah yang diambil Hotel The Grand Renai Kota Bharu dalam menghadapi dugaan dalam situasi menekan seperti ini wajar disanjung tinggi.
Tidak hanya memikirkan keuntungan, pihak pengurusan mengambil inisiatif menjual makanan dengan mempelbagaikan cara demi kelangsungan kehidupan pekerjanya.
Pengarah Jualan dan Pemasarannya, Raja Rusmin Raja Mahmud berkata, inisiatif menjual makanan dengan membuka reruai di hadapan hotel terpaksa dilakukan akibat terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Lebih 10 menu dijual bermula jam 12 tengah hari hingga 6 petang dengan menawarkan makanan bertaraf hotel lima bintang tetapi harga serendah RM3 hingga RM20.
Hal ini membolehkan 170 pekerja di hotel itu terus bekerja dan mempunyai pendapatan untuk sara keluarga mereka.
Menurut Sinar Harian, usaha ini dibuat agar perniagaan tetap berjalan dan operasi tidak ditutup, sekaligus dapat mengelakkan pembuangan pekerja ekoran perniagaannya yang susut 90 peratus.
Hal ini membolehkan 170 pekerja di hotel itu terus bekerja dan mempunyai pendapatan untuk sara keluarga mereka.
“Mana nak dapat menu hotel dengan harga semurah RM3. Bolehlah kami merasa air tangan chef di hotel bila jual dengan harga murah,” ulas salah seorang pelanggan hotel tersebut.
Pelaksanaan Singgoh Beli bermula Ahad sehingga 18 Februari itu juga dikendalikan dengan mematuhi prosedur operasi standard bagi mengelak penularan Covid-19.
Gambar: Terdapat 10 menu istimewa dijual di Singgoh Beli dengan harga murah di hadapan Hotel The Grand Renai, Kota Bharu bagi menambah pendapatan hotel.