Manusia bersikap “Hendak mendapat pisang terkupas” dorong terhasilnya masyarakat pemalas

PERIBAHASA Melayu sentiasa mengingatkan, “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” yang membawa erti untuk mendapat sesuatu kenalah berusaha terlebih dahulu.

Ia amat berlawanan dengan sikap manusia dalam peribahasa “Hendak mendapat pisang terkupas” yang bermaksud seseorang yang berimpian hidup senang tanpa susah payah.

Realiti hidup hari ini, ramai yang mahu kaya sekelip mata tanpa mahu berusaha ke arahnya. Lebih malang, semakin ramai pula yang mengambil jalan haram dalam mengaut rezeki dan terjebak dengan pelbagai penipuan dalam jenayah.

Ia amat bertentangan dengan ajaran agama yang menggalakkan manusia berusaha bersungguh-sungguh dan tekun dalam setiap apa yang dikerjakan, tidak kira dalam urusan dunia mahupun Akhirat.

Realiti hidup hari ini, ramai yang mahu kaya sekelip mata tanpa mahu berusaha ke arahnya. Lebih malang, semakin ramai pula yang mengambil jalan haram dalam mengaut rezeki dan terjebak dengan pelbagai penipuan dalam jenayah.

Ini kerana Allah akan mengganjari hasil setimpal dengan apa yang diusahakan. Mereka yang rajin berusaha akan bergerak maju manakala yang malas atau berat tulang pula akan ketinggalan dan mundur.

Tidak dinafikan, memang wujud manusia yang tidak berusaha tetapi hidup senang hasil warisan kekayaan keturunannya, namun kesudahannya ia akan melesukan pemikiran seseorang itu kerana memperolehinya dengan cara mudah.

Berbanding dengan mereka yang berfikir keras dan berterusan untuk meneruskan kehidupan, manusia sebegini lebih cerdas pemikiran dan lebih tega menghadapi cabaran hidup.

Ramai daripada mereka yang berjaya dan berpengaruh juga mempunyai sejarah hidup yang penuh rintangan perjuangan. Mereka tidak terus lahir sebagai orang senang. Bak kata Presiden Amerika Ke-26, Theodore Roosevelt, “Sepanjang sejarah, tidak ada seseorang yang hidup senang-lenang yang meninggalkan nama yang patut diingat.”

Maka, hendak mendapat kebaikan pottasium daripada pisang, belajarlah mengupasnya terlebih dahulu.

Manusia bersikap “Hendak mendapat pisang terkupas” dorong terhasilnya masyarakat pemalas

| Agama, Semasa |