Menang atau kalah kemudian kira, lapan artis sertai Hijrahkan Laguku sasar dakwah melalui kisah hidup dan lirik lagu yang dihijrah

TIDAK mahu jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, usaha dakwah perlulah bermula dari diri sendiri dahulu. Namun ia tidak bermaksud perlu menjadi sempurna serba-serbi dahulu barulah boleh berdakwah. Berdakwah dan memperbaiki diri berlaku sekaligus.

Lapan orang peserta program Hijrahkan Laguku tidak pernah menganggap mereka pendakwah terbaik, namun setelah berhijrah kepada kehidupan yang lebih selari dengan agama, mereka berhasrat untuk berkongsi pengalaman indah penghijrahan mereka kepada masyarakat pula.

Memanfaatkan bidang nyanyian yang diceburi sebelum ini, mereka yang diberi peluang oleh stesyen TV AlHijrah untuk mengisi lapan minggu berturut-turut program ini pada setiap Sabtu malam akan menyampaikan dakwah mereka pada permulaan rancangan dan kemudiannya menyampaikan lagu yang terpilih yang telah ditukar liriknya kepada nada Islamik.

Kalau suatu ketika dahulu Datuk Nash Lefthanded, Iwan Shahman, Mark Adam, Pangeran Adam, Zaf VE, Shahir Zawawi, Zack Kool dan Rahmad Mega bukan calang-calang artis dalam genre muzik masing-masing, kini mereka bukan setakat mahu menghiburkan penonton, tetapi lebih dari itu membawa masyarakat kepada alam mengenal Tuhan melalui bait-bait lagu yang dipersembahkan.

Iwan sewaktu kemuncak sebagai Raja Dangdut (kiri) dan selepas berhijrah kehidupan. (gempak.com)

Hiburan bukan lagi aktiviti lagha yang jauh menyimpang dari landasan keinsafan, sebaliknya seumpama peranan media sosial jua; pengunaannya menentukan manfaatnya.

Justeru itulah kelapan-lapan peserta yang dipilih ini telah pun ditilik pengalaman dan perjalanan diri mereka terlebih dahulu oleh panel penilai sebelum dibawa ke pentas Hijrahkan Laguku.

Bak kata Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, “Pemilihan lapan selebriti itu dibuat berdasarkan beberapa kriteria antara yang utama ialah menerusi kisah penghijrahan mereka yang unik serta mampu mendorong penonton untuk menjadi khalifah Allah yang baik.”

Selain aura, bakat, karisma dan kekuatan tersendiri yang dimiliki mereka, perkongsian kisah penghijrahan mereka dinilai mampu menjentik satu titik perubahan dalam golongan sasar program itu.

Adat pertandingan ada pemenangnya, tetapi matlamat utama bukan pemenang itu yang dimahu diangkat keterlaluan, sebaliknya kejayaan menarik hati seramai mungkin penonton untuk menimba sebanyak mungkin pengajaran dan keindahan Islam dalam alunan lagu yang dipersembahkan yang dititik beratkan.

Menang atau kalah, mereka telah pun melaksanakan tugas besar mereka iaitu sunnah berdakwah.

Hijrahkan Laguku akan disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pukul 9 malam, setiap Sabtu bermula Sabtu, 20 November nanti.

Gambar: Datuk Nash Lefthanded (kiri sekali) suatu ketika dahulu sewaktu bersama kumpulan tersebut. (hmetro.com)

Menang atau kalah kemudian kira, lapan artis sertai Hijrahkan Laguku sasar dakwah melalui kisah hidup dan lirik lagu yang dihijrah

| Advertorial, Semasa |