Menantu bukan pilihan minta mentua akur takdir

SAYA mula menyedari saya bukan menantu pilihan ibu mentua apabila saya berbual-bual dengannya setelah selesai diijab kabulkan. Tanpa memikirkan kesan perkataannya itu kepada hati saya yang baharu bergelar isteri kepada anaknya, beliau memberitahu saya sebenarnya suami saya mahu dijodohkannya dengan wanita lain.

“Tapi mahu buat macamana, dia (suami saya) dah ada pilihan sendiri,” katanya selamba tanpa melihat muka saya. Saya diam tak terkata, terkejut kerana suami saya tidak pernah menyatakan hal itu kepada saya. Saya tidak pasti suami sengaja tidak menceritakannya kepada saya, atau itu hanya usul ibunya tanpa diberitahu kepada suami saya.

Saya pula tidak berhajat untuk bertanya pada suami walaupun pada ketika menerima kata-kata itu, jantung saya bagai disentak dan dipijak lumat. Saya tidak mahu hari bahagia saya diselubungi suram hanya kerana sebaris ayat itu, apatah lagi mungkin boleh mewujudkan rasa serba salah suami menghadapi keadaan itu. Saya cuba kuatkan hati hadapi cubaan pertama melayari bahtera rumahtangga. 

Saya sangka perkara itu habis di situ sahaja. Rupanya tidak, ibu mentua saya selalu mencari pasal dengan saya pada hari-hari berikutnya. Setiap kali kami pulang menjenguknya, ada sahaja sindiran halus yang diselit dalam perbualan kami. Kadangkala sewaktu saya berdua sahaja dengannya, dan akhir-akhir ini pula di depan suami sendiri.

Sebagai menantu, saya sering doakan ibu mentua saya diberikan hidayah untuk memahami apa itu takdir, qada’dan qadar yang telah ditetapkan. Semua urusan jodoh dan ajal di tangan Dia.

Namun saya lihat suami saya tidak terkesan pun dengan sindiran ibunya, mungkin kerana dia tidak faham kerana sememangnya suami saya jenis lurus orangnya. Dia kurang faham percakapan berkias ibarat atau seumpamanya.

Penderaan emosi itu berterusan dari setahun ke tahun berikutnya, dari anak satu hingga anak dua. Saya sangka apabila dapat cucu, mentua saya akan berubah dan dapat menerima saya sepenuhnya. Namun silap jangkaan saya, mentua saya semakin agresif menghentam saya, walaupun tidak sampai memaki atau menghina secara langsung.

Apa yang menyedihkan, beliau sudah berani meminta anak perempuannya yang lain menjenguk saya di bilik saya sendiri untuk memastikan saya sudah bangun pagi atau belum. Saya tidak nafikan, saya sering bangun lewat sedikit pada hari minggu kerana pada hari itu sahajalah saya dapat berehat. Mananakala mentua saya pula suka datang buat “spot check” pada hari itulah.

Akhirnya saya pujuk diri, saya buat apa yang termampu untuk ambil hatinya. Saya tidak mahu hipokrit dengan bangun awal semata-mata untuk memuaskan hatinya. Saya perlu fikir hak saya juga. Lagipun saya bekerja kerana mahu membantu anaknya juga.

Justeru itulah apabila suami meminta saya berhenti kerja untuk menumpukan perhatian kepada keluarga, saya menolak kerana saya yakin, apabila sudah tidak bekerja, lagi teruk saya “dikerjakan” mentua.

Saya tidak mahu dituduh hanya goyang kaki dan menghabiskan duit suami sahaja, sebagaimana sindiran klise kepada menantu yang hanya menjadi suri rumah. Sebagai menantu, saya sering doakan ibu mentua saya diberikan hidayah untuk memahami apa itu takdir, qada’dan qadar yang telah ditetapkan. Semua urusan jodoh dan ajal di tangan Dia.

Menantu bukan pilihan minta mentua akur takdir

| Tumpang Bahu |