Menghadapi kehidupan ‘new normal’, benarkah Ramadan hilang seri tanpa bazar?

OLEH ROKIAH ISMAIL
(rokiah@tvalhijrah.com)

RAMADAN tahun ini bakal disambut dalam keadaan negara masih bergelut dengan wabak Covid-19.  Keadaan ini sangat berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini kerana bazar Ramadan yang dianggap pesta makanan yang mewarnai suasana Ramadan tidak ada pada kali ini.

Ia secara tidak langsung ‘memaksa’ seluruh umat Islam sama-sama menyesuaikan diri dengan fenomena ‘kebiasaan baharu’ (new normal) yang sudah pasti terselit pelbagai kebaikan yang tidak dapat diterjemah kehendak hati dan hawa nafsu.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga dijangka berakhir pada 28 April bersamaan lima Ramadan, kita tidak mungkin boleh berasak-asak di bazar Ramadan sebagaimana biasa kerana langkah berjaga-jaga. Belum tentu negara bebas sepenuhnya dari wabak ini pada tarikh yang berbaki beberapa hari lagi itu.

Kerajaan memutuskan tidak ada bazar Ramadan seperti dalam bentuk yang sedia ada untuk mengekang orang berhimpun. Sekiranya bazar Ramadan diadakan sekalipun, kita mesti mengutamakan kesihatan dan tidak sanggup mempertaruhkan nyawa semata-mata untuk memenuhi nafsu perut.

Jika diteliti, tidak ada bazar Ramadan sebenarnya memberikan beberapa kebaikan untuk kita sama-sama memperbaiki ruh ibadat puasa masing-masing.

Isu bazar Ramadan seharusnya tidak timbul kerana sepanjang Ramadan kita meneruskan kehidupan seperti biasa; hanya ibadah yang perlu bertambah berbanding bulan lain kerana mengejar fadilat bulan mulia ini.

Malah umat Islam perlu memperbetulkan persepsi bahawa Ramadan bukan perayaan menikmati juadah yang enak-enak ketika berbuka puasa. Persepsi ini terbentuk hasil warisan masyarakat dekad 1980-an dahulu.

Kerajaan memutuskan tidak ada bazar Ramadan seperti dalam bentuk yang sedia ada untuk mengekang orang berhimpun. Sekiranya bazar Ramadan diadakan sekalipun, kita mesti mengutamakan kesihatan dan tidak sanggup mempertaruhkan nyawa semata-mata untuk memenuhi nafsu perut.

Sedangkan Ramadan sepatutnya diisi dengan dengan menginsafi kekerdilan diri di sisi Allah, menghayati kehidupan golongan yang tidak berkemampuan meneruskan hidup dan dianjurkan menumpukan pada ibadat.

Apabila kita berlumba-lumba menikmati juadah yang enak-enak sehingga kadangkala menyebabkan pembaziran, bagaimana kita boleh menghayati kesusahan golongan yang tidak berkemampuan?

Keputusan kerajaan tidak membenarkan bazar Ramadan kerana wabak Covid-19 tahun ini sepatutnya diterima dengan positif kerana inilah titik perubahan kita memaknakan Ramadan dengan sebaik-baiknya.

Setiap mala petaka yang diturunkan Allah kepada hamba-Nya pasti terselit hikmah untuk dijadikan renungan.

Maka, harus diingat bahawa Ramadan tahun ini tidak akan hilang serinya sebagaimana dakwaan sesetengah pihak yang masih belum dapat menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu yang bakal dihadapi ini.

Carilah makna dan seri Ramadan yang sebenar. ‘Kebiasaan baharu’ kita ialah berbuka puasa sebagaimana anjuran agama – makan sekadar perlu serta sentiasa bersyukur kerana masih lagi dikurniakan rezeki makan dan hidup sihat.

Menghadapi kehidupan ‘new normal’, benarkah Ramadan hilang seri tanpa bazar?

| Agama, Semasa |