”Mesin fatwa” ganti ustaz dan mufti

TIDAK payah menefon atau bertemu ustaz mahupun mufti, hanya perlu sembang di talian dengan ‘robot’, anda boleh mendapat jawapan dengan segera dan mudah. Itulah yang menggambarkan fenomena mencari ilmu pada masa kini.

Sebelumnya, rata-rata daripada kita akan merujuk mereka yang lebih berilmu, khususnya para ustaz dan mufti untuk mendapat pencerahan terhadap sebarang kemusykilan agama. Namun sesuai dengan ledakan Revolusi Industri ke-4, bidang agama juga turut maju seiring dengan peralihan zaman.

Kini, seseorang boleh sahaja terus mendapat jawapan daripada ‘’mesin fatwa’’ yang boleh menjawab persoalan agama yang diajukan.

Pada Selasa lalu, Dubai telah melancarkan ‘Virtual Ifta’ (VI), sebuah perkhidmatan pertama di dunia menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menjawab persoalan fatwa, atau apa sahaja urusan berkaitan agama.

Virtual Ifta’ ini akan menerima pertanyaan secara langsung melalui sembang internet dan terus membalasnya. Anda tidak perlu lagi menelefon atau bersua muka untuk mendapatkan jawapan sebagaimana yang lazim diamalkan.

Menurut Tariq Al Emadi, Ketua Bahagian Fatwa, Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Kebajikan (IACAD), pada masa ini, VI hanya dapat menjawab kira-kira 205 soalan berkaitan solat atau doa.

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran rasmi Virtual Ifta’ oleh IACAD di The Boulevard, Emirates, Selasa lalu sebagaimana dilaporkan oleh Gulf News.

Pameran tiga hari yang diadakan sempena pelancaran itu juga memberi peluang kepada pengunjung mengalami Virtual Ifta’. Satu video juga dimainkan di pameran itu, menceritakan evolusi mengeluarkan fatwa – bermula dari pertemuan tatap muka, ke tulisan, telefon, persidangan video, e-mel, laman web, dan akhirnya penggunaan AI.

Dalam fasa perintis pertama, perkhidmatan AI tersedia dalam bahasa Arab dan Inggeris, namun akan dipertingkatkan kepada fasa seterusnya dengan pelbagai bahasa, juga merangkumi aplikasi WhatsApp dan meliputi lebih banyak topik, seperti puasa, kesucian dan wudhu, hal berkaitan kewangan.

Perkhidmatan ini boleh diakses oleh sesiapa sahaja dan di mana sahaja melalui laman web IACAD dengan mengklik pada ikon “Chat dengan kami”.

Ia juga beroperasi 24/7, telah diperkenalkan sejajar dengan ‘Dubai 10X’, program kerajaan untuk meletakkan Dubai terkehadapan 10 tahun berbanding bandar-bandar lain dalam bidang perkhidmatan awam dan penggunaan inovasi terkini dalam menyelesaikan isu.

Keterangan gambar:
DARI KIRI – Ahmed Abdul Aziz Al Haddad (Pengarah Jabatan IFTA), Buti Abdullah Mohammed Al Jumairi (Pengarah Eksekutif Korporat Sokongan Korporat), Ahmed Darwish Saif Al Muhairi (Ketua Eksekutif Amal) Khalfan Juma Belhoul (Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Future Foundation) dan Mohammed Ali Bin Zayed Al Falasi pada majlis pelancaran Inisiatif Virtual Ifta’ pada 29 Oktober 2019. FOTO Clint Egbert/Gulf News

”Mesin fatwa” ganti ustaz dan mufti

| Semasa |