Minum air ikut keperluan, tidak semestinya lapan gelas sehari

BANYAK penyakit berpunca dari kekurangan air dan banyak pula penyakit boleh sembuh hanya dengan minum air. Tidak cukup air boleh menyebabkan dehidrasi dan terlebih air juga boleh mengundang penyakit.

Maka, sebanyak mana air yang elok diminum setiap hari, betulkah kita perlu lapan gelas sebagaimana saranan yang sering kita baca atau dengar?

Dr. Zubaidi Ahmad dalam laman sesawangnya memetik cadangan National Academy of Sciences of the United States Food and Nutrition Board yang dikeluarkan pada tahun 1945 tentang pengambilan nutrient yang harus diambil setiap hari.

Cadangan itu menyebut “Pengambilan air yang digalakkan bagi seorang dewasa ialah 2.5 liter (kira-kira 8 gelas) setiap hari.”

Jumlah 2.5L ini berdasarkan kiraan satu milliliter air diperlukan untuk setiap kalori makanan yang diambil; di mana setiap manusia memerlukan kira-kira 2500 cal setiap hari.

Dr. Zubaidi Ahmad

Namun begitu menurut Dr. Zubaidi makanan juga mengandungi air, hatta dalam kacang kering. Tambahan pula makanan yang yang telah dihadamkan juga akan bertukar kepada tenaga, karbon dioksida dan air. Ini bermaksud sumber air untuk badan tidak hanya bergantung kepada air yang kita minum.

Air diperlukan oleh badan untuk menukarkan makanan yang telah masuk ke perut kepada cecair dan seterusnya dihantar ke usus untuk serapan. Jika tidak cukup air, perut akan mengambil cecair dari darah, perut dan usus agar makanan yang hendak diproses akan menjadi lembik dan cair sebelum dihantar ke usus kecil.

Jika air dalam tubuh tidak mencukupi akibat dehidrasi, tubuh akan menyerap air daripada najis, menyebabkannya mengeras dan seseorang itu mengalami sembelit.

Menurut Dr. Zubaidi lagi, kajian yang diterbitkan dalam Journal of the American College of Nutrition menunjukkan meminum air kosong tidak menjadi keperluan selagi ia meminum air-air lain dan makanan yang berair seperti sup dan bubur.

Jika air dalam tubuh tidak mencukupi akibat dehidrasi, tubuh akan menyerap air daripada najis, menyebabkannya mengeras dan seseorang itu mengalami sembelit.

Maka para saintis menyarankan jumlah air yang harus diminum oleh seorang dewasa ialah segelas air bagi setiap kali makan.

Namun begitu, bagi mereka yang memerlukan lebih air seperti sedang mengalami masalah sembelit, meminum lebih air daripada biasa adalah lebih baik. Begitu juga bagi mereka yang aktif sehingga mengeluarkan peluh yang banyak, atau berada di dalam cuaca panas, pengambilan lebih air adalah satu keperluan.

Ringkasnya, minumlah apabila berasa haus. Mewajibkan seseorang itu minum air lapan gelas sehari bukanlah tindakan yang betul kerana keperluan air seseorang itu tidak sama. Minum terlalu banyak air juga boleh membahayakan diri dan menyebabkan hyponatremia, jelas beliau.

Gambar hiasan: timesofindia.indiatimes.com

Minum air ikut keperluan, tidak semestinya lapan gelas sehari

| Kesihatan |