Misteri kehilangan sebelah selipar, ‘pencuri’ dikesan pada cubaan kali keempat larikan selipar

SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya jatuh jua ke tanah. Misteri kehilangan sebelah selipar terbongkar akhirnya apabila aksi ‘pencuri’ pada kejadian kali keempat terakam dalam rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

Mangsa kejadian, Cik Amirah, seorang penduduk HDB di Sengkang, Singapura pertama kali mendapati selipar salah seorang anggota keluarganya hilang pada hujung tahun lalu. Peliknya hanya sebelah selipar yang hilang.

Menurut laporan portal berita Media Corp, pada mulanya beliau menyangka pekerja pembersihan mungkin tidak sengaja tersapu sebelah selipar itu, namun apabila perkara sama berlaku lagi baru-baru ini, beliau mula syak seseorang cuba ‘bergurau kasar’ dengannya.

Beliau akhirnya cuba mengesan pencuri melalui CCTV. Terbukti ‘pencuri’ itu tidak lain hanyalah seekor kucing jirannya.

Rakaman yang dimuat naik Cik Amirah di Twitter menunjukkan seekor kucing merayap di depan rumahnya sebelum melarikan diri dengan sebelah selipar.

Dalam kejadian di Pennsylvania, kucing bernama Jordan ini sentiasa keluar malam dan membawa pulang kasut yang ‘dicurinya’ di sekitar kawasan itu kepada tuannya. (Gambar: Bored Panda)

Apabila dimaklumkan kepada jirannya, beliau diberitahu bahawa jirannya itu juga sedar kejadian kucingnya yang beberapa kali membawa pulang selipar ke rumah. Namun kerana tidak tahu siapa pemilik selipar tersebut, jirannya itu meletakkannya di lobi lif.

Kejadian seumpama ini pernah berlaku di Pennsylvania tahun lepas, di mana seekor kucing bernama Jordan sering mencuri kasut sehingga menyebabkan pemiliknya pening untuk memulangkan semula kesemua kasut-kasut tersebut.

Pemilik Jordan, BJ Ross mengambil inisiatif mencipta satu kumpulan di Facebook untuk menguar-uarkan kepada jiran-jirannya mengenai kasut yang dicuri Jordan.

Menurut laporan portal Bored Panda, Jordan sering keluar malam dan pulang ke rumah dengan ‘barang curian’nya. Menerusi pengesan GPS pada Jordan, ia melakukan ‘kegiatannya’ di rumah-rumah di seluruh kawasan sekitar.

Gambar: Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan seekor kucing sedang menggonggong sebelah selipar dari sebuah rumah sebelum membawanya pulang ke rumah tuannya. (Petikan skrin dari rakaman video @Mommy Aurora/Twitter)

Misteri kehilangan sebelah selipar, ‘pencuri’ dikesan pada cubaan kali keempat larikan selipar

| Semasa |