Mohon izin sebelum tampil bertanjak di pentas Oxford, pensyarah pamer nilai murni graduan

OLEH ROKIAH ISMAIL
(rokiah@tvalhijrah.com)

HAMPIR lima bulan lalu, sebuah majlis konvokesyen buat kesekian kalinya menjadi sasaran melepaskan kebiadaban warganegara. Terpelajar tetapi tidak terdidik, itulah kesimpulan oleh rata-rata mereka yang berpendapat perbuatan graduan yang dikira biadab itu.

Para netizen menularkan video berdurasi 14 saat itu dengan sejumlah kata kecaman atas tindakan Wong Yan Ke yang melakukan protes sambil mengangkat plakad di atas pentas sewaktu Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) kali ke-59 Oktober tahun lalu. Plakad tersebut mengecam Naib Canselor universiti itu sebagai perkauman dan sepatutnya meletak jawatan.

Sebelumnya pula, beberapa majlis konvokesyen juga dijadikan tempat bersukaria di mana ada yang menari di atas pentas, berswa foto dan pelbagai aksi lagi yang tidak sesuai untuk majlis rasmi serupa itu.

Tiga hari lalu, tular lagi di media sosial tentang seorang graduan Melayu yang melakukan perbuatan unik pada hari konvokesyennya. Kali ini, uniknya itu bersifat positif di mana graduan kelulusan Ijazah Doktor Falsafah Universiti Oxford, United Kingdom memilih bertanjak di majlis konvokesyen universiti terkenal dunia itu.

Berpendidikan tinggi serta menghormati institusi itu, pensyarah Universiti Multimedia Melaka, Dr. Khair Razlan Othman meminta keizinan terlebih dahulu untuk mengenakan tanjak menggantikan topi graduasi (mortar board).

Cara itulah yang diajar oleh agama, menghormati majlis dan tanpa semberono menunjuk angkuh sehingga mencacatkan majlis yang dihadiri. Qudwah yang ditunjukkan Dr. Khair adalah dakwah yang secara tidak langsung membuktikan Islam itu mengajar umatnya bersikap murni.

Berpendidikan tinggi serta menghormati institusi itu, pensyarah Universiti Multimedia Melaka, Dr. Khair Razlan Othman meminta keizinan terlebih dahulu untuk mengenakan tanjak menggantikan topi graduasi (mortar board).

“Harapnya menjadi yang pertama dan satu-satunya barangkali semenjak sejarah penubuhan Oxford. Memperkenalkan pakaian tradisi warisan berzaman, tanda budi dan tinggi peradaban bangsa dalam majlis berprestij sebegini. Sungguh. Ia bukan kerana populariti.

“Di kala rakan graduasi memilih hanya memegang ‘mortar board’, ianya tidaklah semudah bicara tatkala menanam azam untuk menunjuk isyarat buat seisi dunia. Bahawasanya frasa Melayu takkan pernah hilang sama sekali dari dunia adalah satu falsafah yang dalam mengakar. Sebak tatkala melangkah masuk ke dewan teater Sheldonian yang bersejarah. Perjuangan 10 tahun yang terbeban di atas pundak bahu terasa terangkat seketika. Hanya Allah SWT yang tahu akan perasaannya,” tulis Dr. Khair dalam laman Facebooknya.

Seorang yang terasuh dengan nilai-nilai murni akan sentiasa tumbuh menjadi pulau di tengah lautan, menjadi pohon rendang untuk anak bangsa walau di mana ia berada. Ternyata keputusan tampil bertanjak tanpa segan silu untuk memperkenalkan identitinya dalam kalangan masyarakat antarabangsa membuktikan akar jati diri bangsanya telah kukuh dalam jiwa.

Mohon izin sebelum tampil bertanjak di pentas Oxford, pensyarah pamer nilai murni graduan

| Semasa |