Mualaf temui hujah saintifik kejadian manusia dari Al-Quran

APA jawapan yang anda berikan sekiranya seseorang bertanya benarkah Allah itu wujud?

Tahap kepercayaan manusia yang pelbagai sering menuntut pembuktian terhadap segala fenomena yang terpampang di depan mata. Bagi mereka yang terbuka mata hatinya dan menerima hidayah Allah, pengabdian dan kepatuhan tidak memerlukan sebarang bukti. Mereka beriman tanpa syarat.

Namun sifat manusia yang berkecenderungan mengetahui kebenaran tentang segala sesuatu, mereka memerlukan pembuktian sains. Sains adalah suatu cara untuk memahami alam semesta melalui pengamatan, eksperimen, hukum, teori serta hipotesis.

Ditambah lagi dengan pengaruh perkembangan sains dan teknologi yang semakin meluas, manusia telah dinormalisasi dengan justifikasi sains untuk mencari sebuah kebenaran. Bagi mereka, sainslah satu-satunya sumber pengetahuan yang sahih dan berautoriti sehingga mengenepikan sumber wahyu dan tradisi.

Walhal hakikatnya sains juga tidak dapat membuktikan atau menyangkal kewujudan Tuhan secara langsung, kerana Tuhan berada di luar alam semesta fizik dan tidak terbatas oleh ruang dan waktu. Begitu juga dalam menjelaskan asal-usul, tujuan, dan nilai-nilai kehidupan.

Aliscia Sumayyah Depa berkongsi pengalamannya sewaktu belum kembali kepada fitrah kepada Adam Corrie Lee dalam rancangan Pesan Dari Sang Khalik siaran TV AlHijrah.

 Oleh kerana manusia diangerahkan fakulti pemikiran, Allah membuka ruang taakul untuk manusia mencerap sendiri bukti-bukti yang diperlukan. Dalam Surah Adz-Zariyat, Ayat 21, Allah menyuruh hamba-Nya memperhatikan penciptaan manusia itu sendiri untuk melihat keagungan-Nya. Firman-Nya yang bermaksud; “Dan pada diri kamu sendiri, tidakkah kamu memperhatikan?”

Menyedari keperluan jenis manusia yang bergantung kepada sains untuk mencari Tuhan, TV AlHijrah meraikan saranan agama yang menyuruh manusia menerokai ilmu-ilmu berkaitan yang dapat membuktikan kekuasaan Allah.

Melalui rancangan “Pesan Dari Sang Khalik: Al-Quran dan Sains” sebanyak 13 episod yang mula bersiaran pada 19 September 2023 lalu, pengacara rancangan Adam Corrie Lee mengembara ke seluruh pelosok negara menemui seramai 13 orang mualaf yang mendapat hidayah setelah mengkaji logik sains yang diterangkan dalam Al- Quran.

Rancangan yang mengupas fakta-fakta sains, perubatan, kejuruteraan, ilmu alam dan pelbagai bidang lagi yang dikaitkan hubungannya dengan Al-Quran ini mendapat kerjasama pelbagai pihak seperti pihak berkuasa agama yang menyemak kesahihan fakta, para ulamak, saintis, professor dan juga ahli akademik dalam bidang masing-masing.

Dr Mohd Arif Kasmuh menerangkan tentang penciptaan manusia dari kupasan ayat Al-Quran dan menurut hujah sains.

Episod-episod seperti proses kejadian manusia, peredaran matahari dan bumi, alam semesta yang berkembang, dasar lautan, cap jari, biologi wanita, rahsia solat, kedudukan sungai di dasar lautan kekuatan dan rahsia besi, pembiakan virus dan bakteria, percambahan benih, teori Big-Bang dan ilmu geologi dibincangkan secara terperinci dalam kesemua episod ini.

Penceritaan yang dibantu dengan elemen grafik 3D, suara latar, ayat-ayat Al-Quran dijangka dapat memberi nilai tambah kepada persembahan berbentuk dokumentari ini. Skrip yang padat disokong temubual pelbagai pihak serta kesan muzik dan grafik bersesuaian dapat membantu keseriusan kupasan setiap episod.

Dalam Episod 1 lalu yang boleh diulang tonton di aplikasi AlHijrah Plus, Dr. Mohd Arif Kasmuh mengupas Surah Al-Alaq yang menyebut proses kejadian manusia yang berasal dari segumpal darah yang membesar secara berperingkat dalam rahim ibu.

Pernyataan ayat Al-Quran yang menyebut perkataan ‘sulalah’ (saripati) yang diterjemahkan sebagai ekstrak mineral di dalam tanah; di mana pelbagai mineral ini juga ada dalam badan manusia membuktikan Al-Quran itu bukan hanya mengandungi pengajaran dalam bidang metafizik yang tidak dapat dibuktikan melalui sains. Begitu juga istilah “qararin makeen” (tempat yang kukuh) yang ditafsirkan sebagai rahim.

Sebagaimana perkongsian Aliscia Sumayyah Depa tentang pengalamannya kembali kepada fitrah dalam episod ini, sebelum memeluk Islam beliau hanya mengetahui penciptaan manusia daripada pembelajaran di kelas sewaktu zaman persekolahan. Namun setelah memeluk Islam, Aliscia dapat memahami keindahan penciptaan ini secara lebih terperinci berpandukan ayat-ayat Al-Quran berkaitan.

Keindahan mendapat ilmu yang benar dari Kalam Allah itu adalah satu nikmat yang sangat besar bagi beliau sebagai mualaf, mendorong beliau untuk menggali ilmu Allah dengan lebih mendalam serta meyakini Al-Quran itu petunjuk dan sumber ilmu dari Allah.

Gambar hiasan: Kejadian dan penciptaan alam dinyatakan dalam Al-Quran dan ada sesetengahnya dapat dibuktikan dengan sains.

(292)

Mualaf temui hujah saintifik kejadian manusia dari Al-Quran

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>