Muka koyak dirobek anjing, kanak-kanak usia enam tahun berjiwa hero gadai nyawa jadi benteng selamatkan adik

SEORANG hero mempunyai perasaan kasih kepada insan lain sebagaimana kasihnya pada diri sendiri; malah dalam sesuatu keadaan, kasih kepada orang lain melampaui kasih pada diri sendiri.

Ini terbukti dalam kisah seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dari Cheyenne, Wyoming, Amerika Syarikat yang bertindak menyelamatkan adik perempuannya dari terkaman anjing liar.

Bridger Walker melompat di antara kedudukan anjing dan adiknya sebagai galang-ganti serangan itu, mengakibatkan beliau cedera teruk di bahagian muka akibat gigitan anjing di bahagian kirinya, lapor Yahoo News.

Dalam kesakitan dan keadaan berlumuran darah setelah digigit beberapa kali, Walker masih sempat menarik tangan adiknya untuk sama-sama lari menyembunyikan diri.

Apa yang mengharukan ialah ucapan Walker “Jika ada yang harus mati, biar saya yang mati”. Walker yang berjiwa pahlawan sanggup mati demi keselamatan adiknya.

Kisah keberanian Walker ini telah dikongsikan oleh ibu saudaranya, Nikki Walker di laman Instagram tiga hari kemudian. Menurut Nikki, doktor pakar terpaksa membuat pembedahan plastik bagi merawat muka Walker yang menerima 90 jahitan akibat kecederaan tersebut.

Kanak-kanak hero Bridger Walker sejak dari kecil sentiasa melindungi adik perempuannya. Foto: Yahoo News

Gambar Walker dengan muka lebam berjahit dan adiknya itu tular di media sosial. Mereka kagum pada keberanian dan peribadi mulia Walker, pada masa sama simpati terhadap kecederaan yang dialaminya.

Orang ramai mula menawarkan bantuan dan sumbangan kepada keluarga Walker, namun hanya satu permintaan dibuat; iaitu meminta mereka berkongsi gambar batu-batuan menarik yang pernah mereka lihat untuk tatapan Walker yang sangat meminati bidang sains dan geologi.

Melalui perkongsiannya juga, Nikki berasa sangat bersyukur atas semua sokongan yang diberi dan memaklumkan bahawa pemilik anjing tersebut sentiasa bertanyakan khabar Walker dan menawarkan bantuan jika diperlukan.

“Kami sama sekali tidak membenci mereka, malah keluarga kami menjadi sangat erat selepas kejadian ini,” kata Nikki.

Menurut Nikki lagi, Kehadiran Walker sebagai hero menambah lagi senarai hero dan superhero sedia ada dan perkara itu (kehadiran hero terkini) perlu diketahui oleh para pelakon filem The Avengers. Nikki juga men’tag’ para pelakon watak superhero filem tersebut seperti Chris Hemsworth, Robert Downey Jnr, Mark Ruffalo and Chris Evans.

Kejadian ini yang menimpa Walker menjadi bualan warga net yang menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak bermain di kawasan yang terdapat anjing liar.

Gambar: Bridger Walker menerima 90 jahitan di bahagian kiri muka akibat gigitan anjing yang menyerang mereka. (Yahoo News)

Muka koyak dirobek anjing, kanak-kanak usia enam tahun berjiwa hero gadai nyawa jadi benteng selamatkan adik

| Semasa |