Murtad – Jenayah akidah yang melanggar ketetapan Allah bahawa Islam itu agama benar

KENYATAAN usahawan kosmetik yang seakan hilang harapan dengan Islam sehingga meluahkan perasaan untuk murtad sebagaimana laporan beberapa portal akhbar telah menerima pelbagai reaksi dari pelbagai pihak termasuklah dari institusi Mufti sendiri.

Perbuatan murtad atau keluar dari agama Islam mempunyai implikasi yang besar dari segenap aspek. Seseorang yang telah murtad akan dilaknat oleh Allah. Amalan mereka menjadi sia-sia bahkan mereka berpotensi untuk ditempatkan di neraka selama-lamanya.

Perkara ini ditegaskan oleh Allah di dalam al-Quran yang menyebutkan: “Dan sesiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya (Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya) (Surah al-Baqarah: 217).

Malah murtad juga mempunyai implikasi perundangan yang jelas. Rasulullah dalam sebuah hadis turut memberikan penegasan bahawa mereka yang mengubah agamanya berisiko untuk berhadapan dengan hukuman bunuh.

Murtad adalah satu jenayah akidah dalam Islam dan pelaku murtad dianggap melakukan kesalahan besar dalam agama. FOTO: ISMAWEB

Ini diungkapkan sendiri oleh Baginda Nabi yang menyebutkan: Barangsiapa yang mengubah agamanya maka dia hendaklah dibunuh (hadis riwayat al-Bukhari).

Perhatikan bagaimana besarnya kesan dan implikasi bagi seorang Muslim yang murtad. Mereka boleh dikenakan hukuman yang berat bahkan mendapat ancaman seksa dari Allah di hari akhirat kelak.

Barangkali ada yang bertanya, mengapa Allah dan Rasul-Nya menggariskan satu ketetapan yang sangat berat berhubung jenayah murtad?

Perkara ini boleh difahami melalui penerangan dari al-Quran sendiri yang menjelaskan bahawa agama Islam adalah agama yang diangkat oleh Allah sebagai agama yang benar yang seharusnya menjadi pedoman dan sistem hidup manusia.

Firman Allah: Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam (Surah Ali Imran: 19).

Bayangkan sekiranya Allah sendiri mengiktiraf Islam sebagai agama yang benar dan diredai, tetapi tiba-tiba datang seorang hamba menolaknya, bahkan memburukkan agama ini; sudah pasti ia bercanggah dengan ketetapan Tuhan sendiri.

Bayangkan sekiranya Allah sendiri mengiktiraf Islam sebagai agama yang benar dan diredai, tetapi tiba-tiba datang seorang hamba menolaknya, bahkan memburukkan agama ini; sudah pasti ia bercanggah dengan ketetapan Tuhan sendiri. Malah tindakan ini seakan mencabar ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah sebagai garis panduan dan kebaikan buat umat manusia.

Tindakan mereka yang murtad ini seakan mencabar kenyataan al-Quran yang telah mengiktiraf Islam sebagai agama yang benar. Malah lebih dahsyat lagi, tindakan mereka ini seolah-olah menunjukkan mereka lebih mengetahui dari Allah kerana menganggap agama Islam ini sebagai satu kesilapan; sedangkan Allah mengangkat agama ini sebagai agama yang benar.

Apakah hukuman yang layak buat mereka yang merasakan diri mereka lebih tahu dari Allah? Atas dasar itu, hukuman yang dikenakan buat mereka yang murtad adalah sangat berat kerana ia seakan-akan menolak dan merendahkan ketetapan yang telah ditentukan oleh Tuhan mereka.

Dalam kes ini perlulah diperhatikan kembali apakah punca yang menjadikan usahawan kosmetik ini meluahkan perasan sehingga bercita-cita untuk murtad?

Permohonan untuk murtad seringkali dikaitkan dengan hak kebebasan beragama.

Ia dikatakan timbul dari sikap kekecewaannya terhadap agama yang dikatakan yang menjadi penghalang buat kehendak dirinya. Ketahuilah bahawa setiap suruhan dan larangan yang digariskan oleh Islam mempunyai objektif (maqasid) yang jelas untuk kebaikan manusia.

Kita dilarang untuk melakukan zina kerana ia jelas mempunyai keburukan buat umat manusia. Begitu juga kita dilarang untuk menukar jantina dan perkara yang berkaitan dengannya adalah kerana ia mempunyai implikasi yang besar yang membawa kepada kesan yang negatif.

Oleh itu, setiap kita haruslah merenung kembali apakah nafsu kita akan membimbing kepada kebaikan atau keburukan? Keseronokan yang ada pada hari ini mungkin dilihat bahagia tetapi ia berpotensi untuk menjadi sengsara dalam perjalanan yang tidak kita sedari.

Kembalilah kepada Allah. Islam adalah agama yang membimbing kita kepada kebaikan.

Semoga Allah membimbing kita.

*Dr Ahmad Sanusi Azmi adalah Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

PENAFIAN: Hbit.my tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Murtad – Jenayah akidah yang melanggar ketetapan Allah bahawa Islam itu agama benar

| Agama, Kolumnis, Semasa |